Mata, ibarat jendela hati. Solekan mata amat penting bagi memperlihatkan keunikan personaliti si perawan. Solekan mata yang tepat mampu mewujudkan kesan segar dan menawan. Jika kamu bermata sepet, usah bimbang. Ada teknik yang sesuai bagi mendapatkan ilusi bentuk mata yang galak. Ayuh baca tip yang Dara.com kongsikan!

Teknik Solekan 1
Kamu boleh menyapukan white shimmering eyeshadow pada kawasan tulang kening. Teknik ini dipanggil highlight. Ia bertujuan agar tulang kening kamu nampak lebih tinggi dan menjadikan mata kamu lebih besar.

Teknik Solekan 2
Pilihlah pembayang mata rona coklat gelap dan sapukan di seluruh kawasan bebola mata. Langkah seterusnya, adunkan pembayang mata melebihi kawasan bebola mata dan menghala ke sudut luar mata. Ia bagi membentuk kelopak mata kerana mata sepet tidak mempunyai kelopak mata. Teknik ini mampu memberikan ilusi mata yang kelihatan lebih besar.

Manakala di sudut luar mata, kamu sapukan pembayang mata rona gelap seperti hitam atau coklat tua. Adunkan warna-warna gelap ini di sekeliling kawasan bebola mata seperti bentuk bulan sabit. Langkah seterusnya, highlightkan kawasan tengah bebola mata dengan warna putih. Di bawah garisan bawah mata juga perlu disapukan pembayang mata.

Teknik Solekan 3
Untuk teknik yang ketiga, kamu boleh menggunakan pembayang mata rona coklat lembut dan adun pada bahagian atas bebola mata yang telah disapukan dengan pembayang mata rona gelap. Ia bagi bertujuan menjadikan ton pembayang mata kamu berubah menjadi semakin cerah apabila menghampiri kawasan tulang kening.

Teknik Solekan 4
Aplikasi penggaris mata membuatkan mata sepet kamu kelihatan lebih besar semula jadi. Ada juga cara boleh dicuba. Lukis garis tipis pada garisan atas mata sepet atau kawasan yang paling hampir dengan bulu mata. Tidak perlulah menggaris di bahagian bulu mata bawah.

Cara kedua ialah dengan melukis garis tebal dan bersayap seperti gaya solekan popular di zaman 50 an dan 60 an. Penekanan di bahagian ini akan memberikan ilusi mata yang galak. Hanya gariskan separuh sahaja garisan di bawah mata.

Teknik Solekan 5
Lentikkan bulu matamu dengan pelentik bulu mata. Sapukan juga maskara agar mata sepet kamu lebih kelihatan galak dan besar.

EKSTRA TIP:
Jenis-jenis penggaris mata:

*Pensel (sesuai buat gadis yang tidak begitu mahir bersolek).
*Gel/krim (khusus untuk gadis yang sudah mahir melukis garis mata).
*Cecair (sesuai buat gadis yang mahir mencipta garis bersayap yang kemas).
*Kohl/celak (bentuknya seperti krayon untuk mencipta garis tebal).