Terasa ingin memanjakan diri di spa tetapi tidak cukup bajet untuk itu? Tidak mengapa, anda masih boleh lakukannya di rumah. Lebih selesa malah caranya juga mudah dan tidak melecehkan.

 

Teh hijau

Kandungan antioksidan yang dimiliki oleh teh hijau ini mampu membuat kulit wajah anda menjadi lebih segar dan cerah. Untuk menghindarkan kulit dari menjadi kering, campurkan teh hijau dengan sedikit perahan limau purut disertakan dengan oatmeal dan gaul sehingga sekata dan sedikit likat. Kemudian sapukan ke wajah dan biarkan selama 15 minit sebelum dibilas dengan air sejuk.

 

Putih telur

Lakukan masker anda dengan menggunakan putih telur. Caranya juga sangat mudah, asingkan putih telur daripada kuningnya  dan sapukan secara rata ke kulit wajah anda. Selepas ia kering, cuci hingga bersih. Bagi anda yang mempunyai kulit wajah berminyak, ini adalah jalan penyelesaiannya.  Zat yang terdapat pada telur dipercayai dapat mengurangkan kandungan minyak berlebihan pada wajah dan mengecilkan pori-pori muka.

 

Yogurt

Selain untuk dimakan, anda boleh gunakan yogurt ini untuk menyegarkan dan melembabkan wajah. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah sapukan yogurt tersebut pada wajah dan biarkan selama 20 minit dan bilas dengan air suam. Ia dikatakan dapat membantu mengurangkan jerawat dan pori-pori tersumbat dengan kandungan vitamin dan mineral yang terkandung di dalamnya.

 

Timun

Rasanya ramai yang tahu mengenai khasiat timun ini. Kandungan vitamin A, B2 dan C amat mengagumkan. Ketiga-tiga vitamin ini mampu mengurangkan kandungan melanin gelap pada kulit wajah yang kebiasaannya timbul pada kawasan sekeliling mata. Apa yang anda perlu lakukan ialah potong timun senipis yang mungkin dan letakkan ia di kedua-dua belah mata anda, biarkan selama 15 minit.

 

Pisang

Cara membuat masker dengan menggunakan pisang juga amat mudah. Hanya kisarkan sebiji pisang dan campurkan dengan tiga sudu oatmeal dan satu sudu besar madu dan gaul sehingga rata. Sapukan dengan sekata pada wajah dan biarkan sehingga kering. Gunakan air yang sedikit panas untuk mencucinya sehingga bersih. Jika diamalkan, ia mampu membuat wajah anda kelihatan lebih cerah. Wah, kini terdapat banyak cara untuk kita memanfaatkan khasiat daripada buah pisang selain dari memakannya sahaja.

 

Mudah sahaja untuk menjaga kecantikkan diri. Apa yang perlu ialah inisiatif melakukannya. Tidak mampu ke Spa bukan lagi alasan anda kelihatan comot. Kini anda sudah tahu bahawa semuanya juga boleh dibuat di rumah. Nak tambah lagi feel spa ini, pasanglah lilin wangi dengan lagu-lagu tenang. Kemudian berganti-gantilah dengan rakan anda untuk jadi juru spa! -drc