Baiklah, tinggal beberapa hari lagi kita bakal menyambut Syawal. Baju sudah tersedia, tudung pun sama, amal ibadat jangan di lupa dan ada satu lagi juga 'area' yang kadangkala si dara ini lupa, tangan! Kenapa tangan? 

 

Cantik molek sudah si dara. Namun kita bersalam sanak saudara dan keluarga di pagi raya, terasa bukan main kesat lagi tangannya. Kami bercakap pasal bersalam yang muhrim sahaja ya, bukan semua orang. Tangan yang kasar ketika bersalaman mungkin boleh buat kita rasa malu atau kurang selesa. 

 

Kaum perempuan ini memang mementingkan penjagaan kulit wajah berbanding anggota badan lain seperti tangan. Sebenarnya kulit tangan lebih mencerminkan usia berbanding  kulit wajah kerana anda menggunakan tangan untuk melakukan pelbagai aktiviti harian. Selain dari menyapu losyen atau mendapatkan rawatan di spa, anda juga boleh lakukan rawatan tangan ini hanya di rumah. Bolehlah bersalaman dengan tangan selembut sutera nanti.

 

Garam laut dan minyak zaitun

Cara ini sangat mudah. Hanya amil 3 sudu besar garam laut dan campurkan dengan 2 sudu minyak zaitun. Ratakan dan gosok ke seluruh tangan selama 10 minit dan bilas. Kedua-dua bahan ini berfungsi untuk mengikis dan menghilangkan sel kulit mati yang terdapat pada kulit. minyak zaitun memiliki kandungan utama iaitu vitamin E dan Oleic Acid yang ternyata banyak khasiat untuk kulit.

 

Minyak kelapa

Cara ini paling mudah dilakukan. Hanya sapukan minyak kelapa keseluruh tangan dan biarkan selama 10  minit dan bilas dengan garam dan air bersih. Khasiat minyak kelapa adalah untuk memberi kelembapan secukupnya kepada tangan anda.

 

Oat

Sediakan dua sudu oat, dua sudu air perahan lemon dan dua sudu minyak zaitun. Campurkan oat dengan sedikit air sehingga likat kemudian campurkan kesemua bahan-bahan tadi. Sapukan adunan ke tapak tangan dan gosok perlahan-lahan selama 5- 10 minit. Kemudian bilas dengan air suam. Kandungan kesemua bahan ini dikatakan mampu melembutkan tangan anda juga mencantikkan tangan.

 

Pisang

Wah pisang ini bukan untuk dimakan ya. Apa yang perlu anda lakukan adalah, lenyekkan pisang tersebut dan campurkan dengan sedikit mentega. Ratakan pada tangan dan urut perlahan-lahan. Biarkan sehingga kering dan bilas dengan air suam.

 

Anda boleh memilih mana-mana cara yang dirasakan sesuai dan mudah untuk anda. Masih belum terlambat untuk anda lakukannya sebelum menjelang syawal ini. Selamat mencuba! –Drc.