Anda sedang berdiet? Apabila mendengar perkataan nasi, mesti timbul perasaan takut. Terngiang-ngiang di fikiran anda gambaran bentuk badan yang gemuk. Jangan sesekali tanam di akal dan minda anda bahawa makan nasi boleh menyebabkan gemuk.

 

Sebenarnya, nasi atau pun beras bukanlah punca utama kenaikan berat badan seseorang. Kaji dahulu khasiat sebenar yang tersirat di sebalik beras berwarna putih ini. Anda pasti terkejut. Mahukan tidak, kerana selama ini anda memusuhi sumber utama tenaga untuk tubuh badan manusia ini.

 

1-      Lemak

Tahukah anda bahawa beras merupakan bahan yang rendah lemak dan bebas kolesterol? Amat sesuai untuk anda yang sedang mengamalkan program diet kerana beras tidak memiliki lemak tepu atau pun asid dan sodium yang berupaya meningkatkan tekanan darah.

Hanya komposisi lemak yang kecil terkandung dalam beras, tetapi ia merupakan lemak yang sihat. Beras perang yang merupakan seratus peratus bijirin tulen memiliki serat lemak sihat yang lebih tinggi daripada beras putih.

Kadar kolesterol yang rendah amat baik untuk kesihatan jantung anda. Tiada lagi masalah sesak nafas, cepat penat apabila melakukan sebarang pekerjaan dan paling penting anda kekal cergas setiap masa.

 

2-      Protein

Setiap manusia memerlukan zat yang penting untuk menjana tubuh dan kesihatan badan. Protein merupakan unsur kedua yang paling banyak terdapat dalam khasiat beras. Jika ingin dibandingkan dengan bijirin yang lain, serat protein yang terdapat dalam beras lebih bermanfaat kepada manusia.

Protein merupakan enzim yang berperanan besar mempercepat reaksi biologi dalam badan. Malah ia juga memiliki fungsi sebagai tunjang utama menentukan ketahanan tubuh badan anda.

Jika anda berdiet dengan memusuhi nasi dan hanya makan buah-buahan selama seminggu, memang hasilnya berat badan anda berkurangan. Namun, kesan sampingannya badan menjadi lemah dan muka menjadi pucat. Cubalah jika anda tidak percaya.      

 

3-      Karbohidrat

Diet yang sihat mestilah seimbang antara protein, karbohidrat dan vitamin. Jika salah satu sumber ini kurang, maka program diet anda perlu diubah demi kesihatan tubuh badan yang berpanjangan.

Sekurang-kurangnya, 85 peratus tenaga yang dihasilkan oleh nasi berpunca daripada karbohidrat yang terkandung di dalamnya. Sebahagiannya akan diubah menjadi sumber tenaga untuk tubuh. Disebabkan itu, anda kekal cergas dan bertenaga untuk melakukan kerja seharian walaupun jadual padat.

Manakala sebahagian lainnya akan disimpan dalam bentuk glikogen di hati dan juga otot manusia. Anda disarankan untuk mengkonsumi jumlah karbohidrat yang mencukupi dan tidak berlebihan. Kekurangan karbohidrat menyebabkan anda kelihatan lesu, lemah dan tidak bermaya.

 

4-      Vitamin dan Mineral

Nasi terbukti sebagai makanan kesihatan kerana kaya sumber vitamin dan mineral seperti niasin, vitamin D, kalsium, zat besi, tiamin dan fosforus. Beras perang masih lagi kekal sebagai nombor satu serat yang kaya dengan nutrisi penting untuk kesihatan tubuh.

Vitamin E yang terdapat dalam beras perang mengandungi sumber magnesium dan potassium yang diperlukan tubuh untuk menjaga sistem saraf dan otot dalam badan. Jumlah sodium yang kurang dalam beras membuatkan makanan ini amat sesuai untuk mereka yang mengidap tekanan darah tinggi.

 

5-      Kalori

Sumber tenaga yang ada dalam badan manusia majoriti daripada sumber kalori atau pun tenaga yang diperoleh daripada beras. Enzim ini dipercayai bertindak sebagai bahan bakar untuk tubuh sekali gus membantu otak untuk berfungsi secara normal.

Secara tidak langsung ia berkesan mengaktifkan produksi serotonin yang terdapat dalam tubuh. Kesan tindak balas kimia ini menimbulkan perasaan gembira dan positif dalam diri. Otak anda sentiasa sihat dan kurang mengalami tekanan.

Pengambilan separuh mangkuk nasi atau pun 80 gram beras menghasilkan lima peratus tenaga harian yang diperlukan oleh orang dewasa. Bagi anda yang inginkan diet yang seimbang, ambil nasi setiap kali waktunya kerana nasi mempunyai vitamin, protein, mineral dan nutrien penting yang diperlukan untuk kekal sihat. Oleh sebab itu, setiap suapan nasi amat berharga.

 

Fakta Tentang Nasi

 

·         Kajian menunjukkan nasi merupakan menu ruji untuk menampung 2/3 daripada populasi penduduk di dunia.

·         Terdapat kira-kira 40 ribu jenis beras yang berlainan di seluruh pelosok dunia. Hanya 100 jenis daripadanya ditanam secara berasingan. Manakala 10 peratus sahaja dijual dan dinikmati hasilnya.

·         Beras perang merupakan beras yang tidak dibuang kulit arinya. Ia lebih kenyal daripada beras putih dan mempunyai rasa seperti kacang. Sudah tentu ia lebih mahal daripada beras putih.

·         Beras perang mempunyai serat dan fiber yang tinggi bertindak mengurangkan risiko menghidap barah serta kencing manis.

·         Nasi sangat membantu menajamkan memori si pemakan daripada mereka yang mengamalkan diet rendah kalori.

·         Makan nasi sebelum melakukan aktiviti sukan berkesan memecahkan lemak dalam badan lebih cepat daripada mereka yang bersarapan bijirin atau pun serat pada waktu pagi.

·         Untuk mengekalkan khasiat nutrisi pada beras, jangan basuh beras berulang kali kerana sedikit demi sedikit manfaatnya akan hilang.

·         Sudah semestinya nasi bebas daripada perisa tambahan dan juga pewarna tiruan yang membahayakan seperti mana yang ada dalam makanan lain yang berkaitan. dara