Info Sihat kali ini mungkin kedengaran sedikit santai, tetapi percayalah kesihatan gigi juga wajib diambil peduli. Gigi yang sihat dan cantik mampu mengukir senyuman  yang menambat hati. Dara.com berikan anda 10 lagi sebab tambahan pentingnya untuk memberus gigi dua kali sehari.
 
1. Florida
Kebanyakan jenama ubat gigi di Malaysia mengandungi florida sebagai bahan utama. Florida merupakan ‘agen’ penting dalam mencegah berlakunya kaviti. Apabila anda memberus gigi sebelum tidur, florida akan membentuk satu lapisan untuk melindungi gigi anda. Apabila bangun tidur keesokan paginya, memberus gigi ibarat touch up kepada lapisan perlindungan yang telah wujud.
 
2. Bakteria
Memberus gigi dua kali sehari amat penting dalam menghalang bakteria jahat daripada ‘bersarang’ di dalam mulut anda. Bakteria yang dibiarkan begitu sahaja di dalam mulut lebih daripada 24 jam mampu untuk merosakkan enamel gigi anda, seterusnya gigi akan mudah berlubang dan menjadi hitam. Untuk itu, berus gigi anda sekali dalam tempoh 12 jam bagi mengurangkan risiko ini. Bagaimanapun, jika anda dapat memberus gigi setiap kali selepas makan, maka itu adalah lebih baik. Anda juga boleh mempertingkatkan lagi usaha membunuh bakteria ini dengan berkumur menggunakan pencuci mulut antiseptik atau dengan melakukan flossing. Berkumur juga mampu menghindarkan anda daripada masalah mulut berbau. Anda juga boleh berkumur dengan menggunakan air garam dua kali seminggu sebagai langkah alternatif.
 
3. Rangsang fungsi air liur 
Apabila anda tidur pada malam hari, penghasilan air liur adalah berkurangan berbanding siang hari. Air liur atau saliva ini sebenarnya bertindak sebagai lapisan tambahan untuk melindungi gigi dari terhakis oleh bakteria dan mengurangkan kesan pembentukan plak yang akan membawa kepada masalah kaviti. Memberus gigi sebelum tidur akan menyingkirkan partikel halus makanan dan bakteria yang terkumpul di dalam mulut. Jika anda tidur tanpa memberus gigi, bakteria yang tertinggal di dalam mulut akan menghasilkan asid. Asid inilah yang akan merosakkan gigi anda. 
 
4. Melindungi gusi
Gusi adalah bahagian paling utama dalam kesihatan gigi. Jika anda tidak menjaga gusi anda, gigi akan mudah tertanggal sebelum waktunya. Kebersihan dan kesihatan gigi yang kurang dipelihara juga akan mengakibatkan berlakunya masalah gigi yang lain seperti gigi sensitif, gigi beralih, gigi mudah tertanggal atau patah, dan gusi bengkak serta berdarah. Bagi mengelakkan risiko ini daripada berlaku, itulah pentingnya memberus gigi. Jika tidak, rawatan segera diperlukan bagi mengatasi masalah anda.
 
5. Jimat Duit
Jika anda gagal mengekalkan kesihatan mulut anda dengan memberus gigi secara konsisten, anda akan mengalami masalah yang lebih teruk. Rawatan akar, kaviti atau membuat gigi palsu memerlukan wang yang lebih berbanding kos membeli berus dan ubat gigi setiap bulan. Jadi, fikir-fikirkanlah!
 
6. Bantu Memperbaiki Kesihatan Diri
Senyuman menawan dengan gigi yang bersih adalah lambang kepada kesihatan anda secara keseluruhannya. Masalah gusi yang tidak sihat bukan memberikan
kesan kepada kesihatan mulut anda semata-mata, sebaliknya mampu merebak ke saluran darah anda. Serangan jantung, diabetes dan kelahiran bayi pramatang
juga boleh berpunca dari masalah gusi yang tidak sihat. Untuk itu, adalah penting untuk anda berjumpa doktor gigi secara berkala khususnya bagi anda yang merancang untuk hamil bagi mengelak risiko yang tidak diingini berlaku.
 
7. Hilang Deria Rasa
Kegagalan anda memberus gigi dua kali sehari juga akan membuatkan anda hilang deria rasa secara perlahan-lahan. Plak dan bakteria yang terkumpul di dalam mulut anda akan merosakkan deria rasa secara perlahan-lahan. Jika anda mahu menikmati makanan dengan kelazatan yang sewajarnya, selalulah memberus gigi.
 
8. Cegah Pembentukan Plak
Plak mudah terbentuk pada gigi di bahagian bawah atau yang berhampiran dengan gusi dan berwarna kekuningan. Cara terbaik untuk merawat masalah plak ini adalah dengan mengunjungi doktor gigi untuk melakukan cucian. Bagaimanapun, jika anda rajin memberus gigi dan tahu teknik yang betul, maka anda akan berupaya mencegah masalah ini daripada berlaku. Individu yang menghidap diabetes cenderung untuk mengalami masalah ini dan bibir menjadi kering.
 
9. Nafas Lebih Segar
Tidak ada sesiapa pun yang mahu berbual dengan rasa malu akibat teman anda menutup hidungnya! Keadaan ini tentu saja membuatkan anda rasa rendah diri dan tertekan. Anda boleh gunakan penyembur mulut atau mengunyah gula-gula getah berperisa pudina, tetapi langkah terbaik adalah dengan memberus gigi. Selain itu, anda juga disarankan menggunGigi kuning, bukanlah satu imej yang menarik. Jadi, cegahlah ia dengan sentiasa memberus gigi. Bawalah berus dan ubat gigi di dalam tas tangan anda untuk membantu anda melaksanakan tanggungjawab anda terhadap gigi anda.akan berus skrub untuk lidah kerana adakalanya bakteria juga berkumpul pada lidah. Anda juga boleh memberus lidah menggunakan berus gigi. Langkah ini akan memastikan kebersihan mulut anda berada pada tahap optimum.
 
10. Gigi Lebih Putih
Gigi kuning, bukanlah satu imej yang menarik. Jadi, cegahlah ia dengan sentiasa memberus gigi. Bawalah berus dan ubat gigi di dalam tas tangan anda untuk membantu anda melaksanakan tanggungjawab anda terhadap gigi anda.
 
EKSTRA TIP: Pastikan anda memberus gigi dua kali sehari sekurang-kurangnya selama dua minit pada sebelah pagi dan malam dengan memberi perhatian kepada garisan gusi menerusi pergerakan secara membulat. Pemilihan berus gigi juga perlu sesuai dan selesa. Pilihlah berus gigi yang telah terbukti secara klinikal dapat membantu menanggalkan plak dengan berkesan.