Ramai yang meluahkan rasa teruja untuk menyambut puasa pada Ahad ini. Hanya tinggal tiga hari lagi seluruh umat Islam perlu menahan lapar dan dahaga. Tetapi, kedengaran juga suara si dara yang tidak sabar untuk berpuasa semata-mata untuk kurus. Biar betul?

 

Puasa adalah menahan diri dari makan dan minum serta elak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan bermula dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Melatih diri dengn berpuasa sememangnya memberi sejuta kebaikan kepada manusia selain menurunkan berat badan.

 

Antara kebaikan berpuasa adalah dapat membantu kita terhindar dari pelbagai jenis penyakit. Hal ini kerana banyak penyakit berpunca daripada tabiat pengambilan makanan. Jika anda berpuasa, sudah tentu perut anda boleh berehat dari menerima makanan yang tidak sihat seperti sebelumnya.

 

Berpuasa juga dapat mengelakkan diri dari melakukan maksiat kerana rasa lapar membantu melemahkan nafsu manusia. Bayangkan jika anda kenyang, syaitan dengan mudah masuk ke dalam hati kita dan mudahlah kita mengikut hawa nafsu.

 

Jika anda berpuasa dengan ikhlas, pintu godaan syaitan akan tertutup. Maka, anda lebih mudah merasa khusyuk di dalam solat. Maka, berlapar adalah cara terbaik untuk menjaga hati dari godaan nafsu dan syaitan.

 

Apabila berpuasa, secara automatik akan mengingatkan kita kepada orang-orang miskin yang sentiasa di dalam keadaan kelaparan. Biar pun anda bukanlah berasal dari golongan mewah tetapi sekurang-kurangnya anda cukup makan. Secara tidak langsung, berpuasa mendidik kita untuk bersederhana dan tidak melupakan golongan susah.

 

Moga-moga Ramadhan kali ini membawa banyak rahmat buat kita semua. Selamat menyambut Ramadhan!