Kecoh,  kejadian sebuah konsert tertutup yang berlangsung di Bukit Jalil baru-baru ini, apabila ada yang maut akibat ‘overdose’ pengambilan dadah terlarang! Bila difikirkan kembali, bagaimana dadah boleh sewenang-wenangnya diseludup masuk? Menyedihkan lagi, hampir kesemua yang terlibat adalah daripada golongan muda mudi remaja. Berparti, berseronok, serta mabuk tidak tentu arah, adakah ini generasi perintis masa hadapan yang kita harapkan? Hakikatnya, bersuka-suka dan bermewah-mewah secara berlebihan adalah hasil suapan pengaruh kemajuan hari ini dan ia TIDAK diajarkan agama!

 

Terfikirkah anda tentang apa yang cuba disampaikan disebalik kejadian ini? Penyeludupan masuk budaya hedonisme ataupun budaya yang mementingkan keseronokan daripada negara-negara barat khususnya ternyata telah meruntuhkan akhlak kita.  Hedonisme berasal daripada perkataan Greek membawa maksud keseronokan dan bergembira. Menurut Dr. Sudarsono dalam tulisannya yang bertajuk etika Islam tentang kenakalan Remaja, Hedonisme dikatakan sebagai doktrin yang memandang kesenangan sebagai kebaikan paling utama. Dalam erti kata lain, keseronokan dianggap tujuan akhir hidup.

 

Jika dilihat generasi muda di Malaysia, mereka lebih terbentuk hasil pengaruh yang dibawa daripada budaya asing. Malahan mereka membesar dalam dunia yang dipenuhi hiburan berlebihan. Ini kerana, teknologi seperti internet lebih banyak digunakan untuk membawa masuk perkara sebegini berbanding maklumat dan nilai dari luar.

 

 

Hiburan Yang Terbabas

 

Hiburan itu perlu. Ia diizinkan agama. Tetapi, yang salah apabila hiburan itu menjadi fokus utama.  Sekiranya di selidiki statistik minat atau kecenderungan umat hari ini, kita sedia maklum segala yang beraspek hiburan semua jadi pilihan. Dan, ia jadi suatu budaya yang paling dibanggakan di kalangan masyarakat.

 

Apa yang Islam ajarkan ialah hiburan yang diizinkan syarak. Dalam sebuah kisah yang diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah SAW pernah melarang sahabat yang menyanyikan lirik yang keterlaluan. Rasulullah SAW membenarkan nyanyian dan segala bentuk hiburan. Namun, baginda menapis hiburan itu berlandaskan syariat.

 

Rasulullah SAW menyuruh supaya hari-hari yang menggembirakan seperti Hari Raya dan majlis perkahwinan diiringi dengan nyanyian dan bunyi-bunyian. Bukankah itu satu bukti bahawa Islam memberi keizinan untuk manusia memenuhi fitrah mereka.

 

Namun, tidak pada hedonisme. Ia adalah sikap melampau dan melanggar batas untuk manusia memenuhi tuntutan fitrah yang dijadikan secantik-cantiknya oleh Allah SWT. Mungkin apa yang terjadi hari ini boleh dijadikan iktibar dan pedoman buat masa akan datang. Belajarlah daripada kesilapan dan ingatlah, menyesal dikemudian hari tiada gunanya.Gunakan peringatan pada hari ini sebagai benteng untuk mengukuhkan akhlak kita sebagai umat Islam terbaik sejagat.-DARA.COM

 

 

(Sumber Rujukan: Web Majalah I)