Bulan Rejab akan meninggalkan kita beberapa hari sahaja lagi, dan selepas ini akan bermulanya bulan Syaaban yang mulia. Bagi yang tak tahu, bulan Rejab tergolong dalam bulan-bulan haram dalam Islam. Pernah terfikir tak kenapa ia dinamakan bulan haram?

 

Daripada Abu Bakrah , sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya :

 

Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Syaaban.

 

Kalau nak tahu, ia dinamakan bulan-bulan haram selaras dengan pengharaman peperangan yang dilakukan dalam bulan-bulan tersebut pada zaman Jahiliah. Allah SWT telah menegaskan untuk menghormati bulan-bulan haram tersebut dan meninggalkan segala perbuatan maksiat.

 

 Hal ini kerana, maksiat yang dilakukan dalam bulan-bulan haram ini akan mendatangkan dosa yang besar. Begitu juga kezaliman yang dilakukan di dalamnya juga adalah kezaliman yang besar. Tetapi, apa yang menariknya, segala amalan yang kita lakukan dalam bulan ini juga amat besar ganjarannya.

 

Jadi si dara semua, bulan Rejab yang hampir berlalu ini, rasa-rasanya cukup tak amalan kita? Eh, jangan pula risau dan bersedih jika merasakan amalan kita masih kurang. Hanya Allah yang mengetahuinya.

 

Berakhirnya bulan Rejab, menandakan akan muncul pula bulan Syaaban yang juga penuh dengan ganjaran pahala untuk kita rebut. Teruskan beramal, dan sama-sama kita nantikan kemunculan bulan Syaaban yang penuh berkat.

 

Banyak juga amalan sunat di bulanSyaaban. Antaranya, dengan memperbanyakkan solat-solat sunat, berpuasa sunat, membaca Al-Quran, berselawat dan memohon keampunan kepada-Nya (yang ini bukan bulan Syaaban sahaja).  Jangan hanya kerana berakhirnya bulan Rejab, amalan kita pun terhenti. Ingat bulan haram berakhir, tidak bermakna amalan haram bermula.