Apa menu berbuka anda pada petang ini? Soalan itu agak biasa, namun bagaimana  jika kami bertanya, bagaimana anda berbuka petang ini? Pasti ada yang mengerutkan dahi sambil berfikir, berbuka dengan makanan lah. Kalau sebelum ni anda berbuka begitu sahaja, tapi kali ini kami kongsikan adab ketika ‘iftar’ atau berbuka mengikut sunnah Rasulullah SAW yang boleh diamalkan. Mari kita tingkatkan amalan di bulan puasa ini dan semoga beroleh ganjaran yang berlipat kali ganda. 

 

Segerakan waktu berbuka

 

Kalau di dalam solat kita digalakkan supaya  awalkan waktu solat, begitu juga dengan berbuka puasa. Janganlah anda melambatkan waktu berbuka dengan berborak, membaca doa yang terlampau panjang berjela mahupun membaca Al-Quran pada saat ingin berbuka. Lakukan perkara tersebut pada waktu lain dan bukannya sewaktu berbuka. Daripada Sahl bin Saad, sabda Rasulullah SAW:

“Manusia sentiasa dalam  kebaikkan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa” (Riwayat Bukhari& Muslim)

 

Berbuka dengan rutab, tamar atau air

Bagi yang keliru, rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering. Rasanya juga lembut dan manis. Tamar juga dikenali sebagai buah kurma yang telah kering. Mengikut sunnah Rasulullah SAW, baginda akan berbuka dengan buah kurma sebelum menunaikan solat.

 

“Bahawa Rasulullah SAW berbuka dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, baginda akan berbuka dengan beberapa teguk air.”

 

Meskipun banyak makanan terhidang yang menggoda, tidak salah jika mulakan santapan berbuka dengan sebiji kurma. Sesungguhnya banyak khasiatnya buah ini  kepada tubuh badan manusia, di samping pahala yang akan kita peroleh dengan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW ini.

 

Elak makan dengan kadar yang berlebihan

Waktu berbuka merupakan waktu paling sukar untuk mengawal nafsu makan. Mana tidaknya, pelbagai juadah menarik menanti setelah seharian berpuasa. Akan tetapi, saat inilah juga dimana iman anda akan di uji. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

 

“Dan makan dan minumlah kamu..dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan..”

 

Seeloknya elakan dari membeli makanan yang pelbagai jenis. Percayalah anda akan merasai nikmat berbuka jika anda lebih bersifat bersederhana. Bayangkan apa akan terjadi jika anda memakan lebih dari lima jenis makanan pada satu-satu masa? Perut yang telah berehat selama setengah hari pasti akan terkejut dengan makanan yang pelbagai jenis secara banyak. Hal ini juga tidak baik untuk kesihatan anda.

 

Jangan melewatkan solat Maghrib

Sekiranya telah terhidang makanan untuk berbuka, tidak salah untuk anda menjamu selera terlebih dahulu sebelum bersolat.

 

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda SAW bersabda:

“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.”

 

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunnah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk.

 

Akan tetapi sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka eloklah jika kita bersolat terlebih dahulu. Hal ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan  Nabi SAW ini ialah untuk memastikan kesempurnaan dalam solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

 

“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

 

Namun harus diingat janganlah menghabiskan masa yang terlampau lama untuk menjamu selera sehingga terlepas waktu untuk menunaikan solat Maghrib yang singkat itu.

 

Berdoa waktu berbuka

Mengikut hadis Nabi SAW:

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

 

Hal ini kerana, pada saat berbuka puasa, merupakan waktu berkumpulnya kesempitan jiwa (kerana lapar), sifat tunduk dan merendah diri dan apa yang penting hamba Allah itu sedang berpuasa. semua ini merupakan antara sebab terkabulnya doa. Berdoalah, dan jangan putus asa dalam meminta kepada-Nya.

 

Mari si cantik semua kita sama-sama meningkatkan amalan sunnah ini agar keberkatan menjalankan ibadah puasa lebih berharga. Insya-Allah, jom kita mulakan hari ini - Drc.