Orang sakit yang dimaksudkan dalam hadis di atas tidak terhad kepada ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai sahaja. Akan tetapi, ia luas merangkumi siapa saja yang sedang sakit, baik lelaki atau perempuan, baik Muslim atau belum Muslim. Oleh itu, jika kita merenung keluasan ini, akan disedari bahawa taman syurga tersebut sebenarnya berada di mana jua. Ini kerana di mana jua kita berada, pasti akan ada orang sakit yang boleh kita ziarahi. Di sini timbul persoalan, bolehkah seorang perempuan menziarahi lelaki yang sakit  tau bolehkan seorang lelaki menziarahi perempuan yang sakit? Juga, bolehkah seorang Muslim menziarahi Vashini yang beragama Hindu, Mei Ling yang beragama Buddha, Janet Choo yang beragama Kristian dan Emily yang tidak mempercayai kewujudan tuhan? Jawapannya, boleh. Ikutilah penjelasannya.  
 
Dibolehkan Ziarah di Antara Berlainan Jantina
 
Ketika Nabi datang ke Madinah, para sahabatnya merasa sakit, begitu juga dengan Abu Bakar, ‘Amr bin Fuhairah budak Abu Bakar dan Bilal. Lalu Aisyah minta izin kepada Nabi untuk ziarah mereka. Baginda mengizinkannya. [Musnad Ahmad, no: 23224/24360, sahih] Dalam sebuah riwayat lain, A’isyah menerangkan:Ketika Rasulullah sampai di Madinah, Abu Bakar dan Bilal menderita sakit. (A’isyah menlanjutkan) Lalu aku menziarahi mereka berdua, aku bertanya: “Wahai ayahku, bagaimana keadaanmu? Dan engkau Bilal,  bagaimana k keadaanmu?” [Shahih al- Bukhari, no: 5222/5654] Dalam dua hadis di atas, A’isyah seorang perempuan telah diizinkanoleh Rasulullah untuk menziarahi  orang lelaki yang sakit, yang bukan mahramnya. Berdasarkan hadis ini,dapat disimpulkan sebuah hukum  bahawa dibolehkan bagi perempuan menziarahi orang lelaki yang bukan mahramnya dan dibolehkan bagi lelaki menziarahi perempuan yang bukan mahramnya.  Kebolehan ini dengan syarat lelaki atau perempuan yang sakit itu dalam keadaan menutup aurat. Syarat ini mesti diperhatikan kerana adakalanya pesakit tidak dalam keadaan menutup aurat kerana sedang menjalani rawatan atau tidak sedarkan diri.
 
Dibolehkan Ziarah Pesakit Berlainan Agama
 
Kita sama-sama mengetahui sirah Rasulullah di mana apabila pakciknya, Abdul Thalib yang menyembah berhala  sedang sakit tenat, baginda menziarahinya dan berulangkali mengajaknya mengucapkan La ilaha illaLlah. Namun Abu Thalib meninggal dunia tanpamemeluk Islam. Dalam hadis sahih diterangkan: Rasulullah menziarahi Abu Thalib di saat dirinya tengah menghadapi sakaratul maut. Baginda mendapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umaiyyah bin al-Mughirah turut berada di sana. Rasulullah bersabda: “Pakcik! Ucaplah La ilaha illaLlah, aku akan menjadi saksi kamu di hadapan Allah.” [Shahih Muslim, no: 35/24] Selain itu dalam sebuah hadis lain, Anas bin Malik menerangkan bahawa anak kepada seorang Yahudi sedang sakit, maka Nabi datang menziarahinya dan duduk di sebelah kepalanya. Baginda berkata kepadanya: “Masuklah Islam!” Maka anak tersebut melihat kepada ayahnya sementara ayahnya juga berada di sebelah kepalanya. Laluayahnya berkata: “Taatilah Abu Al Qasim (gelaran bagi Rasulullah).”Maka anak tersebut masuk Islam. Nabi lalu berdiri dan  mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang telahmenyelamatkannya dari neraka melalui aku.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2691/3095] Hadis kedua di atas memiliki beberapa petunjuk penting. Pertama, meski pun kaum Yahudi memusuhi Islam, Rasulullah tidak memulaukan mereka semua (boikot) dan tidak mendoakan kemusnahan kepada semua Yahudi. Baginda hanya memusuhi kaum Yahudi yang memusuhi Islam dan menjalinkan hubungan dengan kaum Yahudi  yang tidak memusuhi Islam. Kedua, dibolehkan menziarahi pesakit yang belum Muslim, sebagaimana Rasulullah menziarahi anak kepada seorang Yahudi dalam hadis di atas. Ketiga, hendaklah memanfaatkan apa  jua peluang untuk mendakwahkan  Islam. Oleh itu berdasarkan hadis di atas, dibolehkan ziarah Vashini yang  beragama Hindu, Mei Ling yang beragama Buddha, Janet Choo yang beragama Kristian dan Emily yang tidak mempercayai kewujudan tuhan ketika mereka sakit. Sebaik-baiknya waktu ziarah tersebut digunakan untuk menjemput mereka kepada Islam. Boleh menjemput secara terus sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dalam hadis di atas. Boleh juga menjemput secara tidak langsung, seperti mendoakan pesakit tersebut dengan ucapan: “Ya Allah! Engkaulah asy-Syafi (yang Maha Penyembuh), maka sembuhkanlah Vashina.
Engkaulah al-Latif (yang maha Lemah Lembut), maka berlemah lembutlah kepada Vashini dan kurangilah kesakitan beliau. Engkaulah ar-Rahman (yang maha Pemberi Rahmat), maka rahmatilah ahli keluarganya dari kesedihan dan kebimbangan”. Berdoalah dengan kuat
agar dapat didengari oleh pesakit dan ahli keluarga yang ada bersamanya. Dengan doa seumpama itu, penziarah  dapat memberikan pengenalan kepada pesakit dan ahli keluarga yang ada di sisinya berkenaan Allah dan Islam.