Salah satu manfaat puasa adalah untuk membuatkan kita menghargai nikmat makan. Allah S.W.T berfirman, “Maka makanlah dari rezeki yang Allah telah disediakan untuk kamu, yang halal lagi baik dan bersyukur atas nikmat Allah, jika Dia [sesungguhnya] Allah apa yang kamu sembah” (Al-Quran, 16:114).

 

Tidak dinafikan bahawa nafsu makan pasti membuak-buak setiap kali menjejak kaki ke bazar Ramadan. Aneka kuih pelbagai rasa, minuman sejuk berwarna-warni serta lauk pauk yang yang pelbagai membuatkan anda seolah-olah mahu merasa kesemuanya.

 

Jika anda tahu bazar bakal menggugat  'iman' anda, ada baiknya anda tidak mengunjungi bazar sebaliknya anda masak sendiri di rumah. Ia bukan saja dijamin bersih tetapi lebih sedap berbanding peniaga yang rata-ratanya berniaga semata-mata keuntungan (tidak semua).

 

Sekiranya anda perlu juga membeli atas faktor kesibukan, pastikan anda membawa wang yang secukupnya untuk dua hidangan saja. Dengan cara ini, anda boleh mengehadkan pembaziran yang mungkin bakal berlaku.

 

Selain itu, buatlah perancangan yang awal dengan mengetahui hidangan apa yang benar-benar anda inginkan dan mampu dihabiskan tanpa sebarang pembaziran. Contohnya, jika anda ingin makan nasi kerabu, pastikan anda hanya membeli nasi kerabu.

 

Ketahui juga tujuan anda berpuasa. Anda berpuasa tidak bermaksud anda boleh makan semua yang diinginkan. Tujuan anda berpuasa ialah untuk mendapat keredhaan dan keberkatan dari Allah. Setiap amalan ibadah yang anda lakukan pasti akan diberi ganjaran oleh Allah.

 

Diharap entri kali ini boleh membantu anda memberi kesedaran bahawa tidak semua orang mampu menikmati makanan yang sedap belaka. Ada sesetengah orang kurang kemampuan hanya berbuka air kosong saja. Oleh itu, berbukalah secara sederhana supaya kita tidak lupa pada golongan yang susah.