Senang  sekali berurusan dengan si cantik manis yang punya iras wajah persis selebriti popular Datin Norjuma Habib ini. Sekali lamaran sahaja, dia langsung bersetuju untuk dijadikan sebagai gadis penghias muka hadapan Dara.com untuk isu penutup 2013. Keterujaannya membuatkan kerja kami menjadi lebih mudah. Benar, dia mempunyai personaliti yang begitu menyenangkan. Apatah lagi selepas mengorek latar kisah dan kesungguhan dirinya merencana masa hadapan nan penuh warna warni, membuatkan kami juga tidak sabar untuk berkongsi bersama pembaca tersayang, aura dan magis empunya nama Nur Baizura Basri.        

 

 Bagaimana rasanya apabila mendapat tahu Jue bakal diabadikan sebagai gadis muka hadapan majalah Dara.com untuk isu terakhir tahun 2013 ini?

 

Alhamdulilah, syukur sangat-sangat ke hadrat Ilahi kerana diberi juga peluang ini. Apa yang boleh Jue katakana, ia ibarat mimpi jadi kenyataan. Mana taknya, dulu Jue selalu berangan untuk menjadi covergirl majalah ini setiap kali terpandangnya di kedai. Sudah pasti Jue rasa sangat gembira dan oh ya, terima kasih team Dara.com kerana sudi memilih Jue ya!

 

 

Cantik manis dan tinggi lampai orangnya, apa rahsia Kue menjaga kecantikan dan kesihatan tubuh?

 

Jujur cakap. Jue bukanlah seorang yang terlalu teliti soal penjagaan wajah dan diri. Apa yang boleh dikongsi, Jue amalkan minum air kosong sebanyak dua ribu liter setiap hari. Untuk wajah pula, Jue suka gunakan wap air panas untuk beri kesegaran pada kulit. Ini juga kaedah yang bagus bagi sesiapa yang kerap selsema dan ada masalah resdung. Paling utama sekarang ni juga sedang berfikir cara terbaik untuk menguruskan badan.

 

 

Sempena isu percutian ini, pernahkah ada pengalaman pahit atau manis ketika bercuti?

 

Jue segan sedikit mahu menjawab bila masuk bab bercuti ni (ketawa). Sejujurnya, Jue tak berapa minat melancong. Paling jauh pun, Jue pernah pergi ke Singapura. Itu pun sertai lawatan ketika belajar dulu. Mungkin belum masa yang sesuai untuk Jue berlibur. Duit pun kurang. Ada banyak perkara lain yang menjadi keutamaan Jue ketika ini. Bercuti itu boleh ditangguhkan dahulu.        

 

 

Istimewa

Menarik edisi Disember 2013, Majalah Dara.com kini tampil dengan lebih banyak informasi terkini dan sesuai untuk si dara semua. Ketahui lebih banyak info mengenai 95 jenis fesyen + Glitter Shawl yang menjadi pilihan, 8 soalan lazim ketika berdiet, menjadi si dara kreatif dengan DIY dan banyak lagi! Dara.com sudah pun berada di pasaran sekarang!