Adakala terasa sangat penat dengan sebuah penantian yang tidak pasti. Apakah sebuah hubungan itu akan berakhir seperti yang diharapkan... iaitu bahagia? Untuk kerap bertanyakan si dia,  bimbang pula bakal mengundang rasa rimas dan keterpaksaan dalam sebuah perhubungan! Akan tetapi, hati ini sebaliknya meronta ingin tahu adakah si dia bakal memberikan jawapan cinta yang positif. Kalau sebaliknya, bagaimana ya? Aduh, pasti hati ini terluka dan kecewa!

Oleh itu, Dara.com ingin berkongsi beberapa tip hebat yang boleh dipraktikkan sepanjang tempoh anda di dalam penantian.

 

1.Jangan memaksa, kerana memaksa hanya bermakna ‘tidak ikhlas’. Beri si dia peluang untuk memikirkan yang terbaik untuk kedua-dua pihak. Sebuah desakan akan membuatkan si dia rimas!

 

2. Letak harapan, tetapi jangan terlalu berharap. Anda harus meletakkan harapan kerana ia merupakan doa antara anda dan dia, tetapi anda juga tidak seharusnya terlalu berharap kerana ia mengajar anda untuk reda jika berlaku sebaliknya.

 

3. Jadi kawan sebelum jadi kekasih. Kadangkala akan ada beberapa situasi yang memerlukan anda menjadi seorang kawan lebih daripada keinginan anda untuk menjadi kekasih. Dengan itu si dia tahu bahawa dia boleh mempercayai anda meskipun anda mempunyai hubungan serius dengannya kelak.

 

4. Terus berhubung dengannya dan jangan cepat berputus asa. Ada kalanya si dia mungkin menjadi dingin, tetapi bukan bermakna dia tidak sudi. Tidak semua pemikiran manusia adalah sama dan sedikit ruang kadangkala semakin merapatkan anda.

 

5. Beri tempoh untuk si dia memberi jawapan. Jangan biarkan keputusan tergantung terlalu lama kerana setiap masa yang berlalu boleh membawa perubahan yang besar. Sekiranya dia dapat memberikan keputusan dengan cepat, anda juga harus bersedia menerimanya walau pahit atau manis keputusan tersebut. Ia adalah lebih baik daripada menunggu lama.

 

6. Banyakkan muhasabah diri. Usaha telah dilaksanakan, selebihnya berdoa dan tawakal moga  Allah memberikan jalan yang terbaik buat anda dan bakal pasangan.  In sha Allah, penantian itu akan berakhir apabila tiba masanya nanti. Sabar itu separuh daripada iman seorang Muslim. dara