Nurul A’in Syafiqah binti Mustafa Bakri, gadis bertuah yang dipilih menjadi penghias kulit hadapan Dara.com untuk isu lebaran kali ini. Si manis berumur 22 tahun ini tidak menyangka bahawa dirinya terpilih di antara ramai calon Dara.com baru-baru ini. “Aien macam tak percaya apabila dapat panggilan daripada tim Dara.com yang mengatakan Aien terpilih sebagai Covergirl isu Ogos dan Aien sangat-sangat menghargai peluang yang diberi, apatah lagi untuk majalah kesayangan Aien sendiri.”
 
Pengertian dan Kenangan pada Hari Raya
 
Tentunya Hari Raya memberi pengertian yang sangat bermakna pada semua orang terutama Muslim. Bagi Aein sendiri, Hari Raya bererti umat Islam meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan dengan menahan nafsu lapar dan dahaga. Rugilah seseorang itu jika tidak meraikan hari kemenangan ini dalam erti kata yang sebenar kerana pada hari itu jugalah masanya juga untuk kita mengucapkan syukur kepada Allah. “Kenangan manis yang pernah Aien rasa pada Hari Raya sudah tentulah ketika dapat berkumpul satu keluarga di kampung halaman ummi dan abah Aien di Alor Setar, Kedah. Kebetulan, kampung halaman mereka terletak di negeri yang sama, jadi Hari Raya Aien setiap tahun tidak menyusahkan kerana jarak antara kedua-duanya amatlah dekat.
 
Jadi, dengan kelebihan itu Aien dapat beraya di kedua-dua rumah ummi dan abah pada hari raya pertama. Seronok, kan? Tapi, yang paling seronok ialah ketika Aien belajar untuk membuat ketupat palas daripada nenek Aien,” jelasnya.
 
Tema Raya
 
Saat ditanya tentang tema raya untuk tahun ini, jawab Aien mereka sekeluarga memilih untuk memakai sepersalinan berwarna oren lembut atau pic. Itu pun atas cadangan Aien sendiri, memandangkan warna oren lembut belum pernah mereka pakai ketika raya.
 
“Setiap tahun, Aien akan persiapkan tiga pasang baju kurung pelbagai rekaan dan juga sepasang baju biasa. Sepasang daripadanya adalah pemberian daripada nenek Aien. Setiap tahun nenek akan hadiahkan sepasang baju kurung untuk Aien dan cucu-cucunya yang lain. Dalam bab persiapan hari raya, Aien lebih suka beli awal supaya tak kelam kabut untuk buat persiapan persiapan baju raya dan kuih raya. Adalah lebih baik untuk siapkan awalawal, jadi tak timbul masalah tentang baju raya tak siap lagi di hari raya. Oh, kecewa sangat kalau itu terjadi.Persiapan awal sangat penting agar persiapan yang lain-lain tidaklah terganggu,” tutur anak sulung dari tiga beradik ini.
 
Pilihan Kuih Moden atau Tradisional
 
Aien lebih memilih biskut moden kerana ia mempunyai pelbagai jenis rasa dan corak yang sangat menarik dan ia juga senang untuk disediakan. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang, terlalu banyak jenis biskut raya yang boleh dapati. Satu-satunya biskut raya kegemaran Aien ialah biskut coklat cip.Mana-mana rumah yang Aien pergi, Aien akan mencari biskut coklat cip dahulu. Tetapi, itu tidak bermakna Aien tidak gemarkan kuih tradisional. Ada juga beberapa jenis kuih tradisional yang Aien gemari seperti kuih karas dan rempeyek.
 
Menarik Bulan Ini
 
Banyak lagi kisah menarik isu Ogos, antaranya kami kongsikan 115 fesyen aidilfitri, 13 amalan sunah dan kesilapan ketika menyambut lebaran, jenis baju kurung mengikut negeri, juga tudung percuma untuk anda dimiliki dan banyak lagi. Jangan lupa dapatkannya di pasaran sekarang !