Cerita rumah sewa selalu dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa yang agak kurang ‘best’, betul tak? Maklumlah, bukan semua orang di dalam rumah tersebut yang boleh ‘sekepala’ dengan kita. Nak tak nak, kita kena juga bersabar dan beralah. Dara.com ingin berkongsi dengan anda situasi yang sering terjadi apabila tinggal di rumah sewa.

 

Kebersihan

Ini perkara paling utama yang selalu membuatkan kita dan rakan serumah bermasam muka. Mana tidaknya, andai kata anda seorang yang pembersih, tetapi ditakdirkan serumah dengan individu yang kurang kisah dengan aspek kebersihan, bukankah menyakitkan hati? Baju yang telah dipakai dilempar merata-rata, pinggan mangkuk yang digunakan tidak dibasuh malah dibiarkan saja di dalam singki berhari-hari, dan macam-macam lagi. Takkan anda pula yang perlu jadi ‘bibik’ percuma, kan?

Berkongsi Barang

Apabila sudah tinggal serumah, takkanlah kita nak berkira dengan rakan serumah yang lain. Contohnya, kita membeli sebuah mesin basuh, pastilah kita harus membenarkan mereka yang lain turut menggunakannya. Perkara menyakitkan berlaku apabila ada yang kurang prihatin, tidak menjaga barang kamu itu dengan sebaik-baiknya. Malah, merosakkannya pula tanpa rasa bersalah dan minta maaf.

Tiada Privasi

Berkongsi rumah bermakna anda juga turut berkongsi ruang yang ada. Sukar untuk memiliki privasi sendiri. Tambah merimaskan jika ada rakan serumah yang kurang hormat dengan orang lain di dalam rumah tersebut. Contohnya, membuka lagu dengan volum yang kuat, membawa masuk teman lelaki atau rakan-rakan tanpa memberitahu terlebih dahulu. Sabar sajalah!

Berebut Parkir

Situasi ini sering terjadi jika anda tinggal di rumah sewa seperti rumah teres. Mungkin ruang parkir yang ada di dalam rumah muat untuk meletakkan dua biji kereta. Tetapi, ada lima orang yang memiliki kereta, pasti berebut-rebut siapa yang mahu parkir di dalam kawasan rumah, bukan? Dan apabila asyik orang sama saja dapat parkir tersebut, mulalah ada yang makan hati.

Suka Meminjam

Ini paling tidak disukai.  Ada segelintir individu yang gemar meminjam barang orang lain tanpa mengira sama ada barang tersebut adalah kesayangan atau berharga. Lebih teruk jika dia adalah rakan serumah kita. Ada kala tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu, dia dengan selamba sudah menyarungkan dres kesayangan kita di badannya.