Perempuan memang sinonim dengan aktiviti memasak. Walaupun kini kaum lelaki dilihat lebih dominan dalam bidang masakan profesional, norma masyarakat masih meletakkan kebolehan memasak sebagai salah satu ‘syarat’ utama yang perlu dipenuhi oleh seorang perempuan. Pernyataan “saya tak pandai masak” pula biasanya akan disambut dengan senyuman sinis berserta persepsi bahawa anak dara yang tidak tahu memasak malas membantu ibu di rumah. Benarkah?
 
Saya tak pandai masak!
 
Ketika berada di sekolah menengah dahulu, penulis mempunyai seorang rakan yang perlu memasak lauk makan tengah hari untuk keluarganya pada setiap hari. Ibunya bekerja sebagai seorang pegawai polis yang perlu bertugas mengikut syif, maka teman penulis yang juga anak sulung perlu membantu ibunya melakukan kerja-kerja rumah termasuklah memasak. Pada usia kami yang baru menginjak 13 tahun ketika itu, melihat betapa mahirnya seorang teman menumis sambal dan menanak nasi, wujud perasaan kagum dan malu kepada teman tersebut kerana penulis langsung tidak mahir memotong bawang sekalipun.
 
Menyusuri usia remaja pula, penulis masih tidak mempunyai inisiatif untuk belajar memasak. Tinggal bersama keluarga, sudah pastilah mengharapkan air tangan emak setiap hari. Kadang-kadang, terdengar juga leteran emak ketika dia sedang sibuk mengacau gulai di dapur. Kata emak, dia sudah mula memasak semasa di sekolah rendah lagi, itu pun tanpa perlu diajar satu persatu oleh Mak Tok. “Tengok-tengok aje pun boleh reti, tak payah nak bagi apa-apa resepi pun” ialah ayat biasa yang sering dikatakan oleh emak. Tetapi, bila penulis berdiri di dapur untuk ‘tengok-tengok’ emak memasak, dihambatnya pula kita keluar!
 
Maka, ungkapan “saya tak pandai masak” menjadi teman penulis sehinggalah melanjutkan pelajaran ke universiti. Tanpa disedari, hidup berenggang dengan emak menimbulkan inisiatif untuk ‘cuba-cuba’ memasak sendiri. Ketika itu, kalau masakan tak sedap, sedikit hangus atau terlebih masin sekalipun, semuanya tetap ditelan sebab tidak mahu membazir. Google dan YouTube menjadi ‘kaunter pertanyaan’ rasmi dan sumber resepi utama sehinggalah penulis berasa benar-benar yakin untuk menghidangkan masakan sendiri kepada ahli keluarga. 
 
Wanita sempurna perlu pandai memasak?
 
Bagi penulis, kebolehan memasak tidak membuatkan diri berasa ‘lengkap’ sebagai seorang perempuan. Memasak lebih bermakna kepada penulis sebagai satu survival skill yang boleh diaplikasikan dalam situasi yang memerlukan. Skil ini juga tidak terhad kepada kaum perempuan, malah turut memberi manfaat kepada golongan lelaki. Seperti skil-skil kehidupan yang lain, kemahiran memasak memerlukan minat dan boleh diasah sedikit demi sedikit. Tidak semua orang boleh mencapai tahap yang tinggi dalam kemahiran ini, sesetengah orang seperti penulis sudah berpuas hati jika boleh memasak lauk-pauk harian, manakala ramai lagi yang mengembangkan set kemahiran kepada baking atau memasak gourmet dish.
 
Jadi, janganlah berasa malu sekiranya anda hanya mampu memasak mi segera sahaja ketika ini. Mungkin buat sesetengah orang, kemahiran memasak lahir secara semula jadi kerana persekitaran mereka membesar seperti sahabat penulis tadi. Bagi penulis sendiri, keperluan merancang belanjawan peribadi sedikit sebanyak menimbulkan keinginan untuk memasak. Jangan lupa, ada juga rakan-rakan kita yang tidak pernah memegang sudip dan kuali sama sekali - mungkin kerana berasal dari keluarga yang suka makan di luar, mempunyai pembantu rumah, atau mempunyai masalah kesihatan.
 
Oleh itu, tidak salah sebenarnya sekiranya seorang gadis tidak pandai memasak. Persepsi orang sekeliling adalah bergantung kepada norma masyarakat yang sudah tertanam sejak sekian lama. Maka, gadis yang tidak pandai memasak tidak perlu berasa malu, rendah diri atau tertekan. Namun, jangan pula memperlekehkan kemahiran ini kerana ia juga berguna pada masa-masa tertentu. Sebaliknya, cuba serlahkan dan tingkatkan skil sedia ada kerana seperti memasak juga, practice makes perfect!
 
Baby steps’ untuk belajar memasak:
 
  • Kenali peralatan-peralatan dapur dan bahan-bahan asas masakan. Biasakan diri pergi ke pasar atau pasar raya untuk ‘berkenalan’ dengan ikan dan sayur-sayuran.
  • Mulakan dengan masakan mudah, walaupun sekadar menggoreng telur pun lakukan dengan sungguh-sungguh.
  • Tonton rancangan masakan di televisyen atau internet, paling mudah jenguk-jenguk sambil menolong emak di dapur.
  • Jangan cepat mengalah. Percayalah, semua orang pernah mengalami situasi nasi hangit dan telur hangus!
  • Amalkan langkah keselamatan ketika di dapur. Kecederaan seperti percikan minyak panas dan terhiris pisau antara yang kerap berlaku di dapur.
  • Do it at your own pace. Jika anda memerlukan lebih banyak masa untuk menguasai sesuatu masakan berbanding orang lain pun tidak mengapa. 
  • Jangan lupa, enjoy dan have fun!