Bermula tahun 2013, kegilaan ber‘selfie’ mulai menjadi satu trend dalam kalangan pelbagai peringkat usia. Tidak kira remaja atau golongan dewasa, hampir setiap jam ada sahaja gambar-gambar ‘selfie’ terbaru di muat naik di laman sosial terutamanya Facebook. Tiada salahnya suka ber‘selfie’, namun ia menjadi semakin ‘bahaya’.

Apa sebenarnya maksud ‘selfie’?

‘Selfie’ wujud daripada singkatan bahasa Inggeris iaitu “Self Potrait Photography”. Ia merujuk kepada perbuatan mengambil gambar sendiri menggunakan telefon pintar atau kamera web untuk dimuat naik ke laman sosial seperti facebook, instagram dan twitter.

‘Selfie’ merupakan budaya baru atau tabiat yang sukar dimengerti.  Jika dahulu hanya wanita sahaja yang obses untuk menonjolkan penampilan dan paras rupa mereka, tetapi sekarang golongan lelaki juga berlumba-lumba untuk berbuat demikian. Selain itu, si penggemar ‘selfie’ ini juga berharap agar fotonya itu mendapat perhatian umum seperti komen, ‘Like’ dan sebagainya.

Keburukan ‘selfie’

Mungkin ramai yang beranggapan ia untuk suka-suka sahaja, namun anda perlu lebih berhati-hati kerana kegilaan ini ada impak buruknya. Antaranya:

1-Obses

Anda jadi terlalu obses dengan diri sendiri. Ingin sentiasa tampak cantik dan memiliki pose-pose yang menawan dan menggoda kerana mahu tonjolkan pada orang ramai. Anda juga asyik memeriksa komen-komen dan ‘Like’ terhadap gambar yang dimuat naik. Ia berubah menjadi satu ketagihan yang sukar dibendung.

2-Hilang Keyakinan

Anda boleh mengalami risiko hilang keyakinan diri apabila tidak mendapat banyak ‘Like’ atau mendapat komen-komen yang negatif. Ia juga terbawa-bawa sehingga mengganggu tumpuan anda terhadap keluarga dan pekerjaan. Kesannya, prestasi diri dan kerja anda akan jatuh merudum.

3-Manipulasi

Gambar-gambar tersebut berisiko dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab seperti menjadikan ia sebagai gambar promosi produk, meletakkan caption atau text yang tidak sepatutnya atau berbaur lucah pada gambar anda. Sudah pasti anda tidak mahu jika tiba-tiba gambar anda dengan lirikan menggoda terpapar dalam page yang menjual ubat seks, bukan?

4-Dosa

Anda berisiko mendapat ‘dosa percuma’ jika gambar-gambar yang anda muat naik itu telah menjadi tarikan kepada bukan muhrim yang melihatnya. Mungkin dia akan sentiasa terbayang-bayangkan wajah anda dan menimbulkan keinginan atau bernafsu terhadap anda. Memang mengundang bahaya!