Pernahkah anda berada dalam situasi, apabila ada seseorang menguap, pasti akan ada orang lain juga menguap? Mungkin ia juga pernah terjadi pada diri anda sendiri. Terdapat satu kepercayaan di Greek yang menyatakan manusia perlu menutup mulut apabila menguap bagi mengelakkan roh terlepas dari mulut. Wah, menakutkan! Akan tetapi bagi masyarakat beragama Islam, kita telah dididik agar menutup mulut ketika menguap.  Kenapa agaknya, dan kenapa menguap itu berjangkit?

 

Sebenarnya terdapat banyak spekulasi dan kajian yang dilakukan tentang menguap. Antaranya, menguap dikatakan berpunca daripada saluran darah dalam badan manusia yang kekurangan oksigen. Namun memberikan oksigen lebih dalam badan tidak boleh menghentikan menguap. Ada yang menyatakan menguap melibatkan reaksi kimia, reaksi emosi dan reaksi tindakan.

 

Atas faktor emosi dan kedekatan individu juga satu kajian yang dijalankan di Eropah, Amerika Utara, Asia dan Afrika, mendapati bahawa tabiat menguap mempunyai kesan berantai yang boleh menyebabkan orang lain juga menguap.

 

Lebih separuh daripada responden yang ditemui menyatakan jangkitan menguap mereka adalah di antara individu yang mereka kenali seperti keluarga dan teman rapat serta orang asing atau baru dikenali. Menariknya, kajian ini hanya menemui bahawa faktor paling penting yang menyebabkan seseorang itu boleh menyebarkan tabiat menguap adalah lebih kepada bentuk hubungan dan keakraban antara mereka dan bukan sebab lain. Apabila melihat orang lain menguap, saraf seakan meniru dan menyebabkan tubuh juga menguap.

 

Ada sesetengah individu boleh menguap dengan hanya melihat gambar orang lain menguap. Manakala ada juga yang tidak menguap meskipun video aktiviti manusia menguap dipasang kepada mereka. Maksudnya di sini, menguap boleh berlaku kerana peniruan, apabila melihat orang lain menguap atas faktor emosi dan kedekatan tanpa kita disedari. Atas alasan-alasan dan teori inilah, menguap itu dikatakan berjangkit.

 

Dalam Islam, kita dianjurkan menutup mulut ketika menguap kerana banyak hadis yang menyentuh tentang perbuatan menguap dan adab-adabnya membawa kepada satu makna. Iaitu Islam tidak suka seseorang menguap tanpa menutup mulut apatah lagi ketika solat.

 

Daripada Abu Said Al-Khudri r.a., katanya:

Telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka).” Riwayat Imam Muslim.

 

“Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila kamu menguap, hendaklah menahan sekadar termampu. Kerana sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya.” ( Hadis Riwayat Bukhari)

 

Ada yang menganggap menguap adalah perbuatan normal, namun ada juga negara yang merasakan menguap itu adalah satu perbuatan antisosial sehingga kita menutup mulut. Normal atau tidak, kita mempunyai adab menguap yang perlu diikuti. Ia bukan sahaja mengelak daripada sebaran rantaian menguap ini kepada orang lain, malah kita juga mengikut hadis dan sunah serta berusaha melawan tipu daya syaitan.

 

Islam juga telah mengajar beberapa adab ketika menguap iaitu dengan menutup mulut dan sunat mengucapkan “Astaghfirullah” selepas menguap . Jadi si dara semua, patuhilah adab-adab dalam Islam ketika anda menguap. Rantaian menguap bukan menyeronokkan, ia adalah satu tanda antisosial dan kita juga tentu tidak mahu ditertawakan oleh syaitan.