Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa rambut juga bernafas sewaktu memakai tudung. Bayangkan jika lebih dari beberapa jam rambut kita terkurung dan fabrik tudung yang digunakan kurang elok. Perkara ini boleh mengundang risiko kerosakkan rambut jika tidak ditangani dengan segera. Ketahuilah bahawa sangat penting untuk kita menjaga kesihatan dan kesegaran rambut walaupun bertudung, justeru kami kongsikan beberapa tip berguna khas buat si dara semua.

 

Fabrik

Kebanyakkan wanita tidak menitikberatkan fabrik yang diguna apabila memilih tudung sehingga menyebabkan rambut mengalami pelbagai masalah. Jadi pemilihan fabrik sesuai untuk wanita bertudung adalah daripada kapas, dan sutera. Kedua ini merupakan antara bahan utama yang bersifat mesra kepada rambut kita.

 

Pemilihan bahan yang bersesuaian untuk penjagaan kesihatan rambut perlu diutamakan memandangkan kita memakai tudung dalam jangka masa yang agak lama dalam persekitaran yang juga berbeza.  Tudung yang tidak menggunakan bahan yang betul boleh menyebabkan rambut mengalami kekeringan ketara disebabkan tiada pengaliran udara yang sepatutnya berlaku. Ditambah dengan cuaca panas di negara ini, anda pasti tidak mahu menjadikan rambut anda sebagai mangsa keadaan.

 

Trend tudung

Trend pemakaian tudung masa kini yang melibatkan beberapa lapisan tudung juga boleh menyumbang kepada kerosakkan rambut. Udara yang sangat minima diberikan kepada kulit kepala untuk bernafas. Seeloknya elakkan dari memakai lebih daripada empat lapisan tudung. Kasihanilah rambut anda sendiri. Pilih juga anak tudung yang tidak terlalu ketat dan pastikan ada pengaliran udara walaupun sedikit.

 

Biarkan rambut bernafas

Setelah berjam lamanya berhijab lepaskanlah ikatan rambut anda ketika berada di rumah. Biarkan ia bernafas dengan selesa. Bagi si dara yang berambut panjang, anda pasti tidak mahu mempunyai rambut yang berbau dan kulit kepala kering bermasalah. Jadi cucilah rambut anda dan keringkan dengan cara yang betul. Perlu diingat, jangan sesekali memakai tudung dalam keadaan rambut yang masih basah. Ini merupakan satu penyiksaan kepada kulit kepala dan rambut anda sendiri.

 

Tidak salah mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk hijab yang berkualiti demi kesihatan rambut anda sendiri. Kekalkan rambut sihat cantik dan menawan walaupun dengan berhijab. Ingatlah rambut itulah mahkota paling berharga buat wanita - Drc.