Contoh Situasi
Selesai makan, Laily terus terduduk kekenyangan. Tidak lama kemudian, perutnya terasa tidak selesa dan dia terasa mual. Laily mengambil inisiatif dengan menyapukan minyak angin tetapi tidak berkesan. Air halia rebus juga sudah segelas diteguknya, masih terasa pedih pada ulu hatinya. Apa masalah sebenar, ya?
Melalui pembacaan atau mungkin juga anda pernah terdengar di mana-mana, situasi Laily itu adalah simptom awal serangan GERD. Untuk lebih mudah, GERD adalah penyakit pedih ulu hati. Walaupun pendedahan tentang penyakit ini tidak dilakukan sehebat serangan kanser atau penyakit jantung, ia tetap mendatangkan kemudaratan kepada penghidapnya. Dalam ruangan Info Sihat kali ini, Dara.com ada sedikit maklumat berkaitan GERD yang boleh anda jadikan sebagai panduan. Semoga ia membantu!
 
Perlu Tahu tentang GERD
GERD adalah singkatan bagi Gastro-Esophageal Reflux Disease. Ia turut dikenali sebagai refluks gastroesofageal. Untuk pengetahuan anda, di dalam perut setiap orang terkandungnya asid. Ia membantu untuk mencerna makanan yang dimakan oleh seseorang. Ketika asid ini mengalir balik ke dalam esofagus (yang tidak seharusnya berlaku), inilah hal mengapa seseorang itu mengalami pedih ulu hati. Tugas saluran makanan (esofagus) adalah untuk menghalang makanan daripada naik semula ke dada. Tahukah anda, terdapatnya satu injap umpama enjin pada saluran makanan kita? Apabila makanan telah diambil, ia seharusnya turun ke perut untuk proses penghadaman. Ketika makanan atau asid dalam perut anda melepasi injap ini dan naik ke dada, anda bakal mendapat pedih ulu hati. Atas faktor ini, anda tidak digalakkan untuk mengambil makanan yang banyak pada satu masa bagi mengelakkan injap gagal berfungsi (lemah) dan menyebabkan pedih ulu hati. 
 
Info PENTING
Di persimpangan perut dan esofagus, terdapatnya satu otot yang bertindak sebagai pintu sehala. Tugas otot ini adalah bagi membolehkan makanan melalui esofagus ke dalam perut. Beberapa faktor akan menyebabkan otot ini menjadi lemah, di antaranya:- 
 
  •  Batuk kronik
  •  Muntah
  • Senaman fizikal (keterlaluan)
  • Pakaian ketat
  • Berat badan berlebihan
 
Seperti penyakit-penyakit yang lain, GERD juga memberi ‘salam perkenalan’ kepada tubuh anda. Anda harus lebih peka dan segera mendapatkan rawatan doktor. Simptom-simptom serangan GERD adalah seperti:-
  • Terdapat rasa tidak selesa pada ulu hati. Anda akan merasa panas pada bahagian dada, dari pembukaan perut naik ke bahagian leher dan tekak. Ketika ini berlaku, secara automatiknya anda akan mengusap dada dengan tangan. 
  •  Cenderung untuk rasa mual. Pada peringkat ini, satu cecair berasid akan naik ke tekak dan rasa masam asid ini akan membuatkan anda mahu muntah.
  • Sakit dada yang keterlaluan. Ia adalah umpama terdapat sengatan pada dada dan menyebabkan rasa sakit yang agak teruk.
  • Kerap sendawa kerana angin yang ditolak dari perut ke kerongkong. 
  • Batuk berterusan yang menyebabkan anda kehilangan suara (serak). 
  • Rasa sebu perut kerana angin berkumpul di dalamnya. 
 
PENTING! 
Segala simptom ini biasanya akan berlaku sejurus anda selesai makan dan boleh berlarutan sehingga dua jam. Masalah kesihatan ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan mudah. Cukup dengan rasa mual dan kemudian pesakit muntah, pasti akan berasa selesa selepas itu. Walau bagaimanapun, ada juga pesakit yang terpaksa menjolok tekak mereka kerana rasa sakit yang keterlaluan tetapi tidak mampu muntah secara semula jadi. Rasa pedih pada ulu hati boleh mendorong seseorang itu untuk mendapat radang pada esofagus. Jika keadaan ini berlaku, ia akan mengecilkan saluran makanan seseorang dan menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk menelan makanan. Keadaan ini dikenali sebagai Barret’s Esophagus (pra kanser pada saluran makanan). Asid berlebihan yang naik ke mulut akan mengakibatkan hakisan gigi berlaku. Selain itu, mempunyai rasa pedih pada hulu hati juga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami sakit tekak atau batuk berpanjangan. Jangan tidak percaya, anda boleh dapat resdung juga! Sebelum mengesahkan anda GERD, doktor biasanya akan menjalankan pemeriksaan ke atas anda. Berikut adalah ujian kesihatan yang akan dilakukan ke atas anda sebelum didiagnosiskan menghidap pedih ulu hati (selepas doktor meneliti laporan kesihatan pesakit):-
 
Buat X-ray
Bertujuan untuk melihat bahagian dada dan abdomen. Ujian X-ray dengan larutan batrium akan diadakan untuk melihat sekiranya pesakit menghidap ulser. Sampel tisu (jika pesakit menghidap ulser) tidak dapat diambil melalui ujian ini.
 
Ujian ultra sound
Diadakan untuk melihat sama ada terdapat batu pada pundi kencing atau saluran hempedu. Doktor juga akan melihat sama ada seseorang pesakit itu mengalami
bengkak atau kanser pada hati dan pankreas mereka. Saranan untuk mengubah cara hidup Jika masalah tidak berat, doktor akan menasihati pesakit untuk mengubah cara hidup mereka. Ujian endoskopi dilakukan menggunakan sejenis alat skop sebesar jari kelingking.Ia dimasukkan melalui mulut pesakit. Melalui  pemeriksaan dengan cara ini, saluran makanan, perut, dan usus kecil dapat dilihat dengan jelas. Melalui ujian inilah doktor dapat mengenal pasti sekiranya pesakit menghidap ulser perut atau tidak. Contoh tisu akan diambil sekiranya terdapat tanda-tanda tidak normal pada bahagian tersebut untuk pemeriksaan lanjut.
 
Ambil tahu tentang alarm symptoms 
Gejala masalah ini adalah seperti penurunan berat badan, hilang selera makan, dan pesakit tersebut akan mengalami najis berdarah atau hitam pekat dan melekit seperti tar. Jika pesakit didapati mempunyai semua simptom ini, doktor akan melakukan rawatan lanjut ke atas mereka mengikut jenis kes.