Anda pernah tonton drama Halimah Jongang? Keadaan di mana seorang perempuan mempunyai barisan gigi yang ke hadapan. Walaupun tidak sesempurna dan secantik insan lain, usah anda mengutuk ciptaan Allah kepada orang seperti itu. Keadaan gigi yang ke hadapan seperti itu boleh diatasi dengan pemakaian pendakap gigi. Malah gigi berlapis, tidak rata dan juga rongak boleh menggunakan teknik ini.

Hukum memakai pendakap gigi dalam Islam adalah harus tetapi bersyarat. Hendaklah anda menggunakannya kerana untuk menutup keaiban hingga menimbulkan sakit jiwa dan perasaan. Jika ia kecacatan yang menjijikkan, maka anda boleh memasang pendakap gigi. Ia menjadi terlarang apabila dari permulaan lagi anda sudah memasang niat untuk kelihatan cantik dan menawan.

 

Keadaan Gigi

 

            Jangan sesekali anda menyalahkan takdir jika memiliki gigi yang tidak cantik. Semua masalah di bumi ini boleh diselesaikan. Anda tahu mengapa gigi anda terbentuk begitu? Pertama sekali mungkin disebabkan bentuk rahang bahkan pertumbuhan gigi yang berlebihan juga boleh menyebabkan gigi berlapis.

            Gigi jarang pula disebabkan pertumbuhan gigi kekal yang tidak sempurna. Semua ini berlaku akibat faktor genetik atau punca lain yang boleh dihuraikan oleh pakar ortodontik. Keadaan gigi sebegini memang disarankan untuk memakai pendakap gigi agar lebih tersusun dan kemas.

            Sebelum memasang pendakap gigi, anda perlu berjumpa dengan pakar ortodontik untuk membuat pemeriksaan lanjut. Ujian X-ray akan dilakukan untuk menentukan jenis rawatan yang diperlukan. Sekiranya masalah serius, beberapa batang gigi perlu dicabut sebelum memasang pendakap.

            Hanya mereka yang mempunyai kesihatan mulut yang baik, tiada masalah karies dan juga kesihatan diri yang baik sahaja boleh menerima rawatan seperti ini.

 

SH: Waktu Pemasangan

 

            Rawatan bergantung pada jenis pendakap gigi yang anda gunakan. Paling sekejap setahun dan paling lama tiga tahun. Ia mengikut tahap penjagaan rapi setiap pemakai. Sekiranya anda malas menjaga gigi, maka lagi lama ia akan ditanggalkan.

            Selepas menanggalkan pendakap, anda perlu berjumpa doktor gigi sekerap yang mungkin untuk pemeriksaan. Si pemakai juga digalakkan memakai penahan (retainer) 24 jam untuk enam bulan pertama agar gigi benar-benar kukuh dan teratur.

            Jika anda bercadang ingin membuat pendakap gigi selain di hospital kerajaan, sediakan sahaja wang di tangan paling tidak tiga ribu atau pun lebih.

 

Cara Penjagaan

 

            Anda dilarang sama sekali mengunyah gula-gula getah, dodol, coklat, aiskrim dan juga makanan yang manis. Ini kerana ia menyebabkan berlakunya karies. Setiap kali selepas makan, anda perlu memberus gigi dengan betul.

            Seandainya si pemilik tidak menjaga dengan betul, getah atau pun besi pendakap boleh putus. Selain itu, penjagaan yang tidak sempurna memerlukan tempoh yang agak lama untuk ditanggalkan. Sudah tentu anda tidak keruan memakai pendakap gigi terlalu lama, bukan?

           

 

Jenis Pendakap Gigi

 

1-      Besi (Staineless Steel)

Pendakap jenis ini umumnya mempunyai dua jenis warna iaitu perak dan emas. Selain daripada itu, ada juga beberapa warna lain yang menjadi pilihan. Bagi mereka yang mementingkan harga, pendakap jenis ini menjadi permintaan tertinggi kerana murah daripada jenis lain.

Ia elastik, membolehkannya ditukar pada bila-bila masa sahaja. Malah masa untuk rawatannya sekejap berbanding yang lain. Besi merupakan jenis pendakap yang kuat serta tahan lasak. Anda tidak perlu takut kerana ia tidak mudah patah atau pun pecah.

Jika anda tidak menjaganya dengan baik, anda berisiko mendapat ulser dan luka pada mulut.

 

2-      Seramik (Ceramic or Tooth Coloured Braces)

Masih lagi di bawah kategori jenis pendakap tradisional, seramik lebih cantik daripada besi. Sama seperti di atas, ia juga sangat kuat dan tahan lasak. Paling penting, ia tidak jelas kelihatan ketika jarak jauh.

Anda juga rasa lebih selesa apabila makan kerana sisa-sisa makanan sukar untuk terlekat di celah-celah pendakap. Sudah tentu ini lebih mahal daripada besi, malah lebih besar.

Ada sesetengah individu tidak mampu menahan kesakitan apabila menggunakan pendakap gigi seramik kerana ia memberikan tekanan yang kuat pada struktur gigi.

 

3-      Jernih (Clear Inspire Sapphire Braces)

Pendakap gigi ini lebih kurang sahaja dengan jenis seramik tetapi lebih jernih dan sukar untuk dilihat walaupun dari jarak dekat. Maka ia amat sesuai dipakai oleh anda yang memiliki gigi putih berseri. Andai gigi kuning lebih elok gunakan jenis seramik.

Lebih besar dan lebih mahal daripada jenis tradisional. Materialnya sungguh memuaskan hati. Warnanya sungguh putih dan disebabkan itu ia hanya sesuai untuk mereka yang bergigi putih berseri.

Keadaan dawai besi (bracket) yang sungguh terperinci ini tidak memudahkan keregangan dan juga kekotoran dalam jangka waktu yang singkat. Rawatannya juga memakan masa berbulan-bulan untuk menjaga kualiti dan kebersihan oral.

 

4-      Dalam (Lingual Braces)

Ada sesetengah individu tidak mahu dan malu memakai pendakap gigi kerana terang-terangan di mata orang yang melihat anda. Solusinya, doktor akan memberikan cadangan menggunakan pendakap gigi yang dipasang di bahagian dalam gigi.

Ia amat rumit dan memerlukan rawatan hingga berbulan-bulan lamanya. Tidak semua doktor gigi mampu membuatnya tanpa latihan yang tepat. Pada mulanya, anda akan berasa susah untuk bercakap dan pastinya luka di bahagian mulut akan berlaku. Cuma anda kelihatan seperti biasa, tetapi hakikatnya anda menggunakan pendakap gigi. dara