Setiap gadis mempunyai citarasa yang berbeza. Seperti dalam aspek pemakaian tudung, ada yang menyukai tudung bawal, selendang ataupun tudung ‘awning’. Ia juga bergantung kepada bentuk muka dan keselesaan si pemakai.

 

Bercerita tentang tudung ‘awning’ yang juga dipanggil tudung ekspres ini, ia juga tidak mendapat tempat di hati kebanyakan gadis tetapi lebih kepada orang dewasa pada permulaannya. Pada awal kemunculan tudung jenis ini, ia hanya berona polos dan kelihatan begitu ‘simple’. Ini menyebabkan golongan muda beranggapan ia tudung untuk ke kedai atau jemur pakaian. Lucu, bukan?

 

Namun lama-kelamaan, tudung’ awning’ mulai mendapat suntikan transformasi yang luar biasa. Ia dipercanggihkan lagi dengan material-material berkualiti seperti kain jeans, satin, siffon dan pelbagai lagi. Malah, corak dan dekorasi dengan konsep renda dan manik menambahkan lagi keanggunan si pemakai.

 

Dengan potongan yang lebih stailo dan moden, golongan muda kini mulai menimbang semula untuk menyarungkan tudung ini. Ia kini menjadi sehelai tudung yang mudah, menjimatkan masa, kemas dan elegan dengan paten-paten terkini yang menawan. dara