Trend tudung sentiasa berubah-ubah. Setiap hari ada sahaja tudung dengan corak, fesyen dan warna baru yang diperkenalkan. Jika anda ingin mengikuti trend, namun tengah dalam bajet ketat, anda patut tahu lubuk-lubuk mana yang boleh dikunjungi untuk mendapatkan tudung murah lagi menarik. Untuk itu, kami sediakan kepada anda cadangan tempat shopping tudung yang best dan murah. Sesuai untuk pergi mencarinya pada hujung minggu seperti ini.

 

GM Klang

GM Klang juga dikenali sebagai pusat pemborong barangan terbesar. Bagi sesiapa yang suka beli barang dalam kuantiti yang banyak, bolehlah borong terus di sini. Anda pasti tidak kecewa dengan harga yang ditawarkan. Begitu juga untuk tudung.

 

Tudung bawal, selendang, tudung ekspres hinggalah ke inner tudung, semuanya boleh didapati di sini. Jangan terkejut kalau terjumpa tudung tribal, fesyen yang tengah hot sekarang ni dengan harga semurah RM5-RM7 sahaja. Jika anda membelinya secara borong lebih murah dan begitu banyak pilihan sehingga ada yang dijual longgok.

 

Bangunan setinggi tiga tingkat ini juga menjual barang lain seperti pakaian lelaki dan wanita, pakaian kanak-kanak, beg, kasut, barangan perhiasan rumah, barangan perkahwinan dan pelbagai lagi. Rasanya tak cukup space kalau kami nak senaraikan semuanya di sini. Jadi jika anda bercadang untuk membeli tudung, bolehlah ajak keluarga sama. Sambil anda tengah ‘usha-usha’ tudung, mak atau abang anda bolehlah shopping benda lain. Tidaklah mereka merungut untuk balik cepat.

 

Jalan TAR

Selain terkenal dengan pasar malam pada hari Sabtu, Jalan TAR juga merupakan tempat shopping tudung yang best. Kebanyakan kedai-kedai tudung yang anda lihat hari ini juga mendapatkan stok jualan mereka dengan membelinya secara borong di Jalan TAR.

 

Cakap fasal jenis tudung, sebut sahaja yang anda mahu. Daripada jenis Pashmina,tudung Lycra, tudung Syria, tudung bawal bermanik, selendang pelbagai corak dan mungkin jenis-jenis tudung yang belum anda cuba boleh didapati di sini.

 

Soal harga, anda janganlah risau. Di sinilah anda boleh tunjukkan skill tawar-menawar. Silap-silap boleh dapat harga serendah RM5 sehelai. Bolehlah belikan untuk adik dan kakak juga ya. Mereka pasti gembira. Deretan kedai ini terletak berhadapan dengan SOGO. Kalau dah penat shopping tudung, bolehlah sejukkan badan bershopping di SOGO pula.

 

Seksyen 7 Shah Alam

Siapa yang tidak pernah ke Seksyen 7 Shah Alam, anda patut cuba. Boleh dikatakan kawasan ini telah bertukar kepada syurga tudung dan pusat fesyen muslimah. Anda akan tak senang duduk untuk segera masuk ke kedai-kedai tudung dan pakaian di sini. Memang seronok, walaupun hanya window shopping.

 

 Pelbagai pilihan tudung menarik dan terkini dari lebih 20 kedai ada di Seksyen 7, Shah Alam. Cubalah fesyen tudung dan pakaian dari butik-butik ternama hingga ke butik-butik online yang terkenal seperti Radiusite, Hajra, Sugarscarf, Qaseh,Fareeda, Ariani dan banyak lagi. Anda bolehlah buat pilihan bijak mengikut kesesuaian diri.

 

Ada juga kedai-kedai tudung harga murah di sebalik kedai-kedai terkenal ini. Anda kena pandai mencarinya.  Hanya letak kereta di satu tempat, dan mulalah berjalan. Kalau lapar, tempat makan juga banyak. Berehat dan kemudian sambunglah membeli belah semula.

 

Jika ada tempat jualan tudung yang murah di tempat anda, jom kongsikan bersama kami. Dapatlah kita bersama-sama berfesyen, bergaya dan menyerlahkan diri dengan koleksi yang pelbagai lagi murah harganya. Siapa mahu, angkat tangan!