Bukankah berjimat-cermat itu satu amalan yang mulia lagi dituntut dalam Islam. Lebih-lebih lagi jika barang yang ingin dibeli itu bukan satu keperluan. Daripada bazirkan duit membayar satu barang dengan harga yang beratus-ratus, lebih baik membeli barang yang tidak berjenama tetapi berkualiti dalam harga yang lebih murah. Jadi, bagaimana untuk anda peroleh barang yang murah tetapi berkualiti?
 
Laman Sesawang
Zaman penuh dengan teknologi seperti sekarang ini, apa pun boleh kita peroleh hanya di hujung jari. Begitu juga jika anda ingin membeli-belah. Antara laman sesawang yang boleh anda layari untuk membeli barang yang berkualiti tetapi murah, anda boleh cuba di mudah.my, Lelong, eBay dan banyak lagi. Anda akan peroleh pelbagai jenis barangan kegemaran anda dengan harga yang murah dan sangat berpatutan. 
 
Pasar Malam
Ramai yang beranggapan bahawa barang-barang yang dijual di pasar malam tidak berkualiti. Bukan semuanya tidak berkualiti, hanya sesetengahnya sahaja. Bergantung pada harga dan jenis barangan yang kita pilih. Jika dilihat, terdapat juga butik-butik mewah menjual produk yang sama dengan produk di pasar malam. Cuma harganya sahaja yang berbeza. Ini kerana, barangan tersebut diimport dari tempat yang sama. 
 
Kedai Serbaneka 
Kedai seperti ini sangat mudah didapati. Pelbagai barangan dalam satu kedai bermula dari keperluan diri sehingga perkakasan dan perhiasan rumah. Semuanya terdapat di dalam satu kedai. Harganya juga sangat murah dan berpatutan. Tip untuk anda, pilih barang dengan
teliti dan perhatikan setiap perincian pada barang tersebut. Mungkin terdapat sedikit kecacatan pada sesetengah produk kerana barang-barang dalam kedai seperti ini dijual dalam kuantiti yang banyak. Lebih banyak pilihan, lebih besar potensi anda untuk mendapatkan produk yang baik.
 
Butik Online
Satu lagi kelebihan pada mereka yang bijak menggunakan kemudahan teknologi. Terdapat lambakan butik-butik online yang menghidangkan pelbagai jenis barangan dan produk dengan harga yang sangat berpatutan. Ada juga penghantaran percuma. Anda hanya perlu pilih mana yang berkenan di hati. Jika terdapat sebarang kerosakan atau produk tidak seperti yang dijanjikan, pembayaran balik atau pertukaran akan dilakukan. Jadi, cara begini lebih jimat, mudah, pantas dan memuaskan.