‘Ambil aku cepat,cepat! Ikat daku erat-erat! ’ Lagu Jacklyn Victor kami dendangkan, sesuai untuk memberitahu anda bahawa kena cepat-cepat dapatkan Dara.com isu Julai di pasaran. Menarik isu Julai memaparkan himpunan koleksi abaya yang kini menjadi pilihan si dara. Ada tip bijak memilih hijab, pelbagai fesyen terkini yang menarik, cara menangani masalah gelap bawah mata dan banyak lagi info berguna.

 

MENARIK BULAN INI

 

Abaya...Simple But Elegant

Himpunan koleksi abaya kini menjadi pilihan si dara. Biarpun di pasaran terdapat pelbagai pilihan warna dan rekaan, namun warna hitam turut ada peminat dan penggemarnya tersendiri. Seleksi abaya dari negara Arab Saudi ini menampilkan material satin dan lycra serta rekaan unik sesuai untuk digayakan pada bulan Ramadan. Tidak ketinggalan rekaan payung kembang nyata membuatkan gayamu lebih anggun apabila melangkah.  

Seperti gambar model di bawah, sebelah kiri (Miss Farrashah ii- Si dara anggun dalam rekaan lengan terbelah dan taburan manik bercorak rama-rama pada hujung kaki. Nyata memukau pandangan. Manakala model sebelah kanan (Miss Bubble Gum - Taburan bunga berwarna-warni melatari bahagian tengah memberi daya tarikan tersendiri. Gayakan bersama tudung daripada corak senada.

 

Bijak Memilih Hijab

Ramai yang masih keliru dalam memilih jenis kain selendang yang sesuai untuk dipakai. Ada yang memilih atas dasar kualiti dan ada juga kerana harganya. Kebanyakan selendang mempunyai kualiti yang berbeza mengikut harga dan itu yang mempengaruhi seseorang untuk membeli, walaupun pada asalnya tidak mengetahui bagaimana cara memakainya. Jadi, perlu diingat, memilih selendang atau tudung perlu dilihat pada keselesaan kita untuk memakainya, bukan hanya pada material ataupun harga. Ayuh kita ikuti tip ini untuk anda lebih memahami kelebihan jenis selendang yang anda ingin beli atau telah miliki.

 

1.      Kapas (Bawal)

Apabila melihat selendang jenis ini kembali berada di pasaran, teringat pula zaman persekolahan. Selendang jenis ini mudah digayakan kerana daripada jenis kain kapas dan punyai gred. Ia mudah dibentuk pada wajah dan bersifat sejuk dan terletak kemas saat digayakan. Biasanya ia berbentuk empat segi sama dan boleh digayakan dengan pelbagai gaya.

 

2.      Sifon

Wah, anda dikatakan seorang yang berani jika memilih untuk memakai selendang daripada jenis kain ini. Ia bersifat licin dan terlalu sensitif. Perlu dijaga rapi. Tetapi untuk memakainya, ada caranya. Pastikan anda gandingkan dengan anak tudung jenis kapas pada bahagian dalam agar selendang ini tidak mudah lucut daripada kepala. Jika rajin, gunakan pin yang lebih untuk kemasan. Selendang jenis ini sangat sesuai untuk majlis-majlis rasmi.

 

3.      Denim

Kain yang menjadi kegilaan sesetengah pemakai hijab. Ia kelihatan agak ranggi, namun masih sopan. Bersifat sejuk dan mudah digayakan.

 

4.      Lycra

Ada satu ketika, kain selendang jenis ini menjadi rebutan ramai. Ia mudah dijaga dan tidak perlu digosok. Penggayaannya pun lebih mudah dan kerana kain selendang jenis inilah terciptanya ikatan tudung tanpa pin ataupun peniti.

 

5.      Satin

Selendang jenis ini juga agak sukar untuk digayakan. Tetapi kelihatan mewah dan feminin. Jika dililit di kepada, akan kelihatan kemas dan terletak. Jadi, jadikan selendang jenis ini salah satu koleksi anda.

 

        6.      Kait

        Lebih mudah jika memilih untuk menggayakan tudung jenis kait kerana tidak memerlukan penjagaan rapi dan       penggayaan lebih ringkas dan bebas. Cuma perlu disertakan dengan inner neck agar tidak menampakkan rambut ataupun tengkuk ketika memakainya.

 

Masalah Lingkaran Gelap di Bawah Mata

Pada usia muda, remaja agak jarang mempunyai masalah lingkaran gelap di bawah mata. Kebiasaannya, ini berlaku kepada pelajar IPT ataupun mereka yang telah bekerja. Ini kerana disebabkan tekanan yang diberi pada bahagian mata seperti menggunakan komputer dalam tempoh yang kerap dan agak lama. Jika terus dipaksa, corak kulit bawah mata akan kebiruan atau bertambah gelap. Ini disebabkan berlakunya pembesaran pembuluh darah.

 

Semakin banyak darah yang ada di kawasan bawah mata, itu yang membuatkan warnanya kelihatan lebih gelap berbanding warna kulit muka yang lain. Jadi, cara yang mudah untuk diamalkan adalah dengan menghiris timun atau tomato dengan hirisan yang sangat nipis dan tekapkan di mata. Amalkan setiap malam dan insya-Allah lingkaran gelap tersebut akan beransur hilang.

 

Ini baru sebahagian kecil artikel menarik yang terdapat dalam Dara.com isu Julai. Itulah kami dah kata, kalau mahukan lebih, segera dapatkan Dara.com di pasaran. Julai, pasti akan menjadi bulan yang hangat!