Pernahkah anda bermimpi dikejar sesuatu yang anda tidak tahu apa, tetapi ia besar dan menakutkan. Anda berlari semahunya, memaksa kaki bergerak dan semuanya kelihatan sangat perlahan sedangkan otak anda menyaksikan ia selajunya. Anda berlari dan berlari sehingga akhirnya anda lemah longlai dan terjatuh. Bayangan itu semakin dekat dan anda menjerit tanpa ada suara yang keluar. Bila bayangan cuba menerkam, anda pejamkan mata serapatnya dan kemudian terjaga daripada mimpi, berkeadaan penat dan berpeluh, jantung bagai nak tercabut dan jam sudah 7.30, arghhh lewat lagi ke kelas! Lebih tak suka lagi, kita penat!

 

Ada orang tidur tanpa mimpi, ada pula yang tidur bermimpikan yang indah-indah. Tapi kalau mimpi tanpa motif seperti mimpi ngeri dikejar makhluk pelik seperti di atas, memang meletihkan. Kadangkala ada juga mimpi yang mengalahkan sinetron Indonesia. Pernahkah anda terfikir kenapa ia terjadi?

 

Mimpi sering berlaku ketika kita nyenyak tidur. Dalam Islam, mimpi terbahagi kepada tiga jenis, iaitu mimpi benar yang berlaku pada para Nabi, seperti mimpi Nabi Ibrahim menyembelih anaknya adalah wahyu Allah SWT, mimpi daripada syaitan dan juga mimpi mainan tidur.

 

Rasulullah mengajar kita supaya berlindung kepada Allah apabila didatangi mimpi yang menakutkan dengan menyebut “auzubillahlah”,  membaca surah tiga Qul, Ayat Kursi, kemudian tidur dalam keadaan berwuduk dan tidak dalam keadaan berjunub.

 

Kalau anda nak tahu, cara tidur yang terbaik ialah tidur mengikut sunah nabi. Dengan cara ini, kita akan mendapat tidur yang lebih berkualiti serta dapat mengelakkan dari mendapat mimpi-mimpi ngeri yang memenatkan.

 

Amalan sebelum tidur

1.Berwuduklah dengan sempurna.

2.Baca doa sebelum dan sesudah tidur disertai dengan Al-Fatihah dan surah-surah lain.

3.Tenangkan fikiran dengan memaafkan semua orang setiap hari.

Kajian menunjukkan bahawa orang yang memaafkan lebih bahagia dan sihat daripada mereka yang menyimpan kebencian.

4.Berzikirlah sehingga terlena.

Bukhari, Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Al-Darimi meriwayatkan daripada Abu Huzaifah r.a bahawa beliau berkata Nabi SAW apabila naik ke tempat tidurnya pada waktu malam, baginda meletakkan tangan baginda di bawah pipi baginda kemudian membaca (yang maksudnya) : Dengan namaMU ya Allah, aku mati dan hidup; dan apabila bangun, baginda membaca (yang maksudnya) : segala pujian bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami, dan kepadanya kami kembali".

 

Mudah-mudahan dengan cara ini dapatlah si dara semua menghindari diri daripada mendapat mimpi buruk yang memenatkan. Jom kita cuba lakukan amalan di atas mulai malam ini.