Jika sebelum ini, pilihan-pilihan tudung seperti Syria, pashmina, bawal yang menjadi ikutan, tiba masa  untuk ‘glitter shawl’ pula menjadi trend terkini untuk dunia fesyen wanita muslimah. Siapa yang tidak pernah dengar mengenainya… pergi sahaja ke butik-butik tudung, malah di kedai-kedai biasa pun ada terjual selendang ini. Bagi anda yang sudah memiliki koleksi selendang ini, mari baca untuk tahu cara sesuai mengayakan selendang  berkilau ini.

 

Tidak seperti selendang lain, selendang ‘glitter’ ini agak menarik perhatian ramai apabila anda mengenakannya. Ini kerana,  fabriknya yang penuh berkilau melitupi keseluruhan permukaan tudung. Pasti sahaja tidak semua berani menggayakan tudung ini. Jika silap cara, anda mungkin akan dilihat seperti pokok Kristmas pula.

 

Sedar atau tidak, penampilan seseorang akan kelihatan agak berat dengan selendang ini dan mungkin  juga ada yang berpendapat bahawa tudung ini hanya sesuai digayakan ketika ke majlis tertentu sahaja. Akan tetapi, kenyataan ini tidak benar sama sekali. Jika anda ingin mengenakan selendang ini untuk ke kelas, pastikan warna selendang bukanlah daripada warna-warna panas seperti merah, gold, silver, atau kuning. Warna-warna ini sudah pun mempunyai kekuatannya tersendiri ditambah apabila dipadankan dengan fabrik ‘glitter’ ini, penampilan untuk ke kelas dilihat kurang sesuai. Sebaliknya pilihlah warna  pastel seperti biru laut dan cream.

 

Pastikan juga baju anda tidak mempunyai corak yang keterlaluan. Ia bakal mencacatkan keseluruhan penampilan anda. Elakkan juga dari memakai perhiasan tangan yang sarat serta warna baju yang terlampau terang. Anda pasti tahu mengapa.  Pemilihan baju berasaskan warna gelap adalah pilihan yang sesuai.

 

Khas buat anda yang ingin menggayakan selendang ini ke majlis-majlis tertentu, penggunaan warna-warna mewah seperti gold, silver dan merah hati, adalah pilihan yang tepat. Hal ini kerana ia bakal menaikkan seri anda sekali gus menjadikan anda perhatian ramai. Tetapi, awas! Jika selendang sudah bergemerlapan, pastikan baju anda tidak mengadungi unsur-unsur yang sama. Penampilan anda akan kelihatan sangat berat dan mungkin juga ada yang akan sakit mata apabila melihat anda nanti. Maklumlah, dari atas hingga ke bawah dipenuhi dengan kilauan. Sebaliknya cuba untuk meminimakan pemakaian baju yang sarat juga aksesori yang pelbagai.

 

Jika anda pernah mendengar ungkapan, ‘simple is better’, ha..mari kita bergaya simple dengan ‘glitter shawl’ ini.-Dara.com