Semakin hari, semakin banyak corak dan warna tudung yang diperkenalkan. Terkini dan menarik untuk mereka yang suka tampil berani adalah tudung dengan warna-warna neon. Jangan takut dengan warna striking ini kerana anda akan nampak lebih berkeyakinan dan bergaya. Juga satu statement tudung yang menarik buat mereka yang ingin berfesyen dengan lebih terserlah.

 

Penggunaan warna neon untuk tudung dilihat sebagai satu pendekatan berani dalam dunia fesyen bertudung Muslimah kerana warna neon terdiri daripada warna yang terang serta sangat menarik perhatian. Jika berani, anda juga boleh mengayakan warna neon untuk ke kelas. Siapa kata tidak boleh bergaya walaupun ke kelas. Tapi, jangan sampai melanggar etika berpakaian di institusi pengajian masing-masing pula ya.

 

Penggunaan warna-warna neon ini juga agak tricky. Jika anda menggunakan lebih dari satu warna neon dengan kombinasi yang salah, ia akan menampakkan anda terlalu menonjol dan menukar fesyen neon ini sebagai satu malapetaka berfesyen.

 

Jika anda ingin tampil lebih neutral,  gunakan hanya satu warna neon pada badan anda kerana warnanya sudah cukup terang dan menjadi penegasan yang baik. Disebabkan itu, ia lebih sesuai dipadankan dengan busana berpalet monokrom. Jika anda memilih untuk memakai tudung berwarna biru neon, warna baju yang sesuai adalah seperti dark cream dan kuning lembut.

 

Pemilihan warna haruslah seimbang bagi setiap tudung atau selendang lebih-lebih lagi dengan penggunaan warna-warna terang dan berani ini. Anda pastinya tidak mahu kelihatan seperti pokok krismas ketika menggayakan warna ini nanti. Jadi pilihlah kombinasi warna neon yang sesuai agar anda tampak lebih segar dan menarik.