Tudung bawal masih tak lapuk dek zaman, masih komersil. Biarpun hadir pelbagai jenis tudung dan trend pada hari ini, bawal masih relevan. Malah kerana minatnya orang ramai terhadap tudung bawal, banyak pembaharuan dan adaptasi baru dilakukan terhadap tudung bawal. Bawal berbatu, empat tone, cekak manik dan bawal pelangi antara beberapa yang boleh meneruskan minat penggemar tudung bawal.

 

Soalan cepu emas, pernahkah anda terfikir, dari mana asalnya nama tudung ni? Kalau tudung Ombak Rindu, Tudung Nur Kasih tu boleh diteka lagi, ia adaptasi daripada filem. Begitu juga dengan tudung Fareeda, tudung Yuna, Hana Tajima dan sebagainya. Ia diberi nama berdasarkan nama artis atau gaya si pemakai. Tapi kalau tudung bawal pula bagaimana, adakah ia datang daripada nama ikan bawal? 

 

Ha, kalau nak tahu nama tudung bawal ni special sikit. Ia berasal daripada perkataan voile , membawa maksud fabrik yang lembut. Ia kemudian dimelayukan menjadi bawal.  Istilah voile ini berasal daripada Perancis iaitu Veil kerana fabriknya yang ringan. Jadi ia tidak ada kena mengena dengan ikan bawal ya.

 

Tudung bawal antara trend tudung yang masih bertahan lama meskipun ada banyak persaingan daripada jenis selendang, pashmina, lycra, syria, tudung tiga lapis dan tribal. Malah untuk mengelakkan rasa bosan pengguna, cara pemakaiannya juga dipelbagaikan.

 

Ada yang menjadikan tudung bawal seakan selendang, dengan gaya semat tudung seperti Hana Tajima. Kemudian ada juga yang menjadikan ia seakan selendang dengan gaya belitan mirip tribal. Begitu juga untuk mereka yang berani berfesyen, menjadikan tudung bawal seakan turban, dengan gaya Yuna.

 

Bagi yang suka keringkasan pula, tudung bawal boleh dipakai seperti biasa, namun memilih rona-rona warna lebih menarik. Batu yang ditanam ringkas pada tudung juga boleh menyerlahkan imej yang elegan tanpa kelihatan terlalu menonjol. Selain dibuat sendiri, kami terarik juga dengan tudung-tudung bawal yang dipopularkan personaliti terkenal Datin Norjuma Habib menerusi produk Adijuma.

 

Rasanya Datin Norjuma antara pengusaha yang giat mempertahankan fesyen tudung ini dan berjaya. Apabila kita sebut sahaja tudung bawal, Adijuma antara jenama yang akan kita ingat. Daripada range murah hingga lebih eksklusif ada dalam koleksi Adijuma. Datin Norjuma membuktikan tudung bawal masih trend, masih relevan dan masih lagi komersial.

 

Apa yang perlu adalah sedikit kepelbagaian corak, warna dan penggayaan yang disesuaikan dengan pakaian. Sedang kami mencari idea tentang pemakaian tudung bawal, terjumpa pula video pemakaian tudung bawal batik 206 koleksi Adijuma. Cubalah tengok-tengok, dan anda akan faham apa maksud kami, bahawa bawal masih belum outdated.

 

Sumber video diperoleh dari ChannelAidijuma