Pasti anda risau apabila sudah berada di hadapan jurujual kerana tidak tahu hendak memilih minyak wangi manakah yang sesuai. Jangan malu untuk bertanya pada jurujual dan ambil masa anda untuk mencuba dahulu. Elakkan kelam kabut untuk membelinya kerana anda juga yang akan menyesal nanti.

 

1- Pilih Waktu

Walaupun hanya waktu petang dan malam sahaja saat lapang untuk anda, cuba elakkan membeli minyak wangi pada waktu itu. Ini kerana waktu terbaik untuk mencuba minyak wangi adalah pada waktu tengah hari. Ia disebabkan deria bau kita berada pada saat kemuncak waktu itu.

 

2- Bau Kegemaran

Setiap orang memiliki aroma kegemaran tersendiri. Sama ada bauan bunga-bungaan, buah-buahan atau pun jenis kayu-kayan. Semua elemen ini terdapat dalam setiap satu botol minyak wangi yang ada di hadapan anda. Tanya jurujual bauan pilihan anda dan cuba dahulu. Jika tidak berpuas hati, mereka akan mencadangkan sesuatu yang lain buat anda.

 

3- Bau Original

Sebelum memilih minyak wangi di pasar raya, pastikan anda tidak memakai sebarang jenis wangian. Ini ditakuti anda akan keliru dengan aroma sebenar minyak wangi baru nanti. Apabila sudah mencuba sejenis minyak wangi, ambil sedikit masa untuk mencuba yang selebihnya pula ya.

 

 4- Gosok Tangan

Perkara biasa yang dilakukan oleh pengguna ialah menggosokkan pergelangan tangan selepas menyemburkan minyak wangi. Itu adalah teknik yang salah. Jangan lakukannya sama sekali kerana ia akan merosakkan komposisi molekul minyak dan menjejaskan bau sebenar. Biarkan ia seketika dan kering dengan sendirinya.

 

5- Losen Badan

Mereka yang gemar menjaga kecantikan amat suka menyapu losen badan pada tangan dan kaki selepas mandi bagi mendapatkan kulit yang lebih lembut. Selepas itu, anda perlu berehat sebentar sebelum menyemburkan minyak wangi pada badan. Anda juga perlu bijak memilih bauan yang sesuai agar aroma campuran losen dan minyak wangi tidak memeningkan kepala orang lain yang menghidunya.

 

6- Sembur Pada Kulit

Jangan sesekali anda menyemburkan minyak wangi pada pakaian. Ia boleh merosakkan warna pakaian anda dan paling merisaukan, ia meninggalkan kesan tompokan air yang tidak diinginkan. Sembur minyak wangi pada kulit terutama di bahagian leher, pergelangan tangan, dada, siku dan juga belakang telinga. Baunya akan kekal lebih lama.

 

Info: Jangan terus membeli minyak wangi yang anda bau cuba walaupun anda suka akan aromanya. Ada sesetengah wangian memerlukan masa setengah jam atau beberapa minit untuk mengeluarkan bau sebenar. Ambil masa untuk berjalan-jalan ke tempat lain dahulu dan kembali semula untuk memastikan anda membuat keputusan yang tepat. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan harga ratusan ringgit untuk sebotol minyak wangi. dara